Piala AFC 2022: Tugas getir menanti KDA FC
TUGAS getir menanti pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada saingan Piala AFC 2022 apabila diundi dalam Kumpulan G bersama juara Liga 1 Indonesia 2019, Bali United FC dan juara Copa Paulino Alcantara 2021, Kaya FC dari Filipina.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak menunggu satu lagi pasukan yang akan melengkapkan kumpulan itu iaitu pemenang perlawanan 'play-off' di antara pasukan dari Kemboja atau Laos.
Aidil Sharin menyifatkan skuad kendaliannya itu bakal menempuh laluan sukar kerana pasukan lawan masing-masing dibarisi ramai pemain berpengalaman selain pernah beraksi di pentas AFC dan juga Liga Juara-Juara Asia (ACL).
"Pasukan-pasukan yang akan kami tempuhi dalam saingan Kumpulan G ini agak mencabar kerana Bali United FC mempunyai ramai pemain antarabangsa malah pernah beraksi di pentas Piala AFC termasuk ACL.
"Begitu juga dengan Kaya FC yang telah beraksi di pentas ACL pada musim lalu. Memang kami perlu siapkan sebuah pasukan yang betul-betul mampu memberikan saingan dalam Kumpulan G ini," katanya ketika dihubungi pemberita pada Selasa.
Pengendali dari Singapura itu berkata, saingan Liga Super yang bakal membuka tirai pada awal Mac ini bakal menjadi medan terbaik untuk membentuk pasukan sebelum pentas AFC dibuka pada Mei.
Menurutnya, barisan kejurulatihan masih mempunyai empat bulan untuk membuat persiapan bagi menghadapi kejohanan Asia itu dan semua pemain berpeluang untuk merebut kesebelasan terbaik bagi membuat penampilan di pentas antarabangsa.
"Saya rasa masih awal (fikirkan saingan Piala AFC) kerana kita akan memulakan saingan Liga Super terlebih dahulu pada Mac ini. Bermula dari situ, kita akan pastikan momentum pemain-pemain berada pada tahap terbaik sebelum fokus kepada AFC sebagaimana yang dirancangkan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!