MB Pahang kutuk serangan di Christchurch
KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas umat Islam hingga di Masjid Linwood dan Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand, semalam.
Melalui Facebook rasminya, Wan Rosdy berkata, serangan ketika solat Jumaat yang mengorbankan 49 nyawa setakat ini amat tidak wajar dan mengundang kemarahan umat Islam seluruh dunia.
Beliau berkata, peristiwa seperti itu pernah dicetuskan pengganas dalam kalangan puak-puak militan Islam dan kini oleh pengganas bukan-Islam pula.
"Jadi perlakuan keganasan tidak boleh dikaitkan sebagai monopoli satu-satu pihak, apatah lagi yang berasaskan kaum atau agama,"katanya.
Wan Rosdy berkata, beliau menyeru semua pihak agar tidak kongsikan video serangan yang tular di media sosial, demi menjaga perasaan keluarga terlibat termasuk rakyat Malaysia yang tercedera.
"Semoga mereka yang terkorban dikurniakan kematian syahid. Sama-samalah kita sedekahkan al-fatihah kepada roh mereka,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!