PRN: Jangan jadikan rakyat Johor eksperimen politik
PASIR GUDANG - Rakyat Johor tidak seharusnya dijadikan bahan eksperimen politik dengan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk menguji pengaruh atau kekuatan mana-mana parti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata, keadaan politik di negeri tersebut ketika ini tenang walaupun kerajaan negeri yang memerintah hanya memiliki kelebihan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Kita tidak mahu situasi politik di negeri ini bergolak. Jangan burukkan keadaan di Johor yang baru bangkit daripada Covid-19 dan jangan cipta masalah yang sebelum ini tidak ada. Isu PRN ini menakut-nakutkan rakyat Johor dan perlu diberikan noktah.
"Sepatutnya semua ADUN menghormati dan tidak derhaka terhadap pesanan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa bertitah dalam pembukaan sidang DUN baru-baru ini supaya mengekalkan kestabilan politik di Johor.
"Jika ada pihak yang terdesak untuk mengadakan PRN, mereka perlu menunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15), buat serentak di seluruh negara. Kos untuk PRN Johor lebih RM40 juta, ini membazir duit rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri upacara pengebumian dua mangsa lemas di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Pasir Gudang, Kampung Cahaya Baru di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Che Zakaria berkata, semua ADUN termasuk pembangkang menyokong kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan tidak ada sebab untuk membubarkan DUN dan Hasni tidak seharusnya mendengar desakan partinya untuk PRN.
"Johor tidak boleh dijadikan seperti Melaka dengan mengadakan PRN. Ini situasi berbeza. Johor mempunyai sultan dan Undang-Undang Tubuh Negeri yang patut dipatuhi, bukan boleh dilanggar sesuka hati dengan buat PRN," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!