'Cemas kepala bayi sudah keluar'

Nur Shaffriza (kiri) bersama bayi kembar yang selamat dilahirkan dalam bot ambulans di Tasik Banding pada Sabtu lepas.
Nur Shaffriza (kiri) bersama bayi kembar yang selamat dilahirkan dalam bot ambulans di Tasik Banding pada Sabtu lepas.
A
A
A

GERIK - "Semasa dalam perjalanan ke hospital, wanita itu memberitahu mahu meneran, bila diperiksa didapati kepala bayi sudah kelihatan."

Demikian kongsi Jururawat Kebidanan Klinik Pos Kemar, Nur Shaffriza Mohd Shaffril, 34, yang menyambut kelahiran bayi kembar lelaki dalam sebuah bot ambulans ketika melalui Tasik Banding untuk ke hospital di sini pada Sabtu lepas.

Dalam kejadian sekitar jam 11.20 pagi itu, Zantima Zabree, 34, dari Kampung Bal Stol, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Pos Kemar, selamat melahirkan bayi kembar lelaki dengan berat 2.4 dan 1.3 kilogram.

Kelahiran bayi berkenaan dikongsi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dalam laman Facebook pada Selasa.

Nur Shaffriza berkata, meskipun telah biasa menyambut kelahiran bayi, proses kelahiran kembar itu berbeza kerana dilakukan ketika bot sedang bergerak.

Menurutnya, kerjasama dan kecekapan jururawat kesihatan serta jururawat masyarakat yang turut berada dalam bot itu telah memudahkan proses kelahiran bayi itu dengan selamat.

"Meskipun berasa cemas, kami bersyukur kerana proses kelahiran berjalan lancar.

"Ibu bayi itu mengadu sakit mahu bersalin ketika lawatan jururawat masyarakat ke rumahnya.

Artikel Berkaitan:

"Ketika dalam perjalanan itulah, dia memberitahu mahu meneran, di situlah mulanya saat cemas. Alhamdulillah kami dapat kawal keadaan sehinggalah berakhirnya proses bersalin," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Beliau yang telah berkhidmat sebagai jururawat kebidanan sejak empat tahun lalu berkata, proses kelahiran bayi kembar kali ini menjadi sangat menarik kerana dapat melihat sendiri bayi kedua dilahirkan dalam keadaan masih di dalam 'karung'.

"Kami perlu pecahkan karung itu untuk keluarkan bayi tersebut. Bagi saya, pengalaman ini amat bermakna kerana ia jarang berlaku," katanya.

Sementara itu, perkongsian JKN Perak memaklumkan, kejadian itu berlaku sewaktu usaha membawa seorang wanita dengan usia kandungan 35 minggu ke Hospital Gerik, 15 Januari lepas.

Katanya, dengan tindakan pantas dilakukan anggota kesihatan, ibu tersebut yang bersalin kali keempat selamat melahirkan bayi kembar.

"Kesemua mereka telah dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi menjalani rawatan susulan," kata kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!