Isu Azam Baki: SC perlu dedah penemuan siasatan kepada umum

Cynthia
Cynthia
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) digesa supaya mendedahkan kepada umum penemuan diperolehi dalam siasatannya terhadap isu jual beli saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Cynthia Gabriel berkata, SC juga perlu mendedahkan bagaimana suruhanjaya tersebut sampai kepada kesimpulan yang diperolehi dalam siasatan tersebut.

“Kami menggesa SC untuk mendedahkan kepada umum penemuan siasatan mereka dan bagaimana ia sampai pada kesimpulan yang tidak pasti itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

SC pada Selasa memaklumkan pihaknya tidak dapat memberi kepastian muktamad bahawa berlaku pelanggaran di bawah Seksyen 25 (4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung kontroversi pemilikan saham membabitkan Azam.

Menerusi kenyataan ringkas itu, SC berkata, kesimpulan siasatan itu dibuat bersandarkan kepada bukti terkumpul.

Di bawah Seksyen 25(4) SICDA, setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti atas nama pemilik benefisial sekuriti yang didepositkan atau atas nama penama yang diberi kuasa.

Mengulas lanjut, Cynthia turut mengulangi penegasan pihaknya yang menyatakan bahawa siasatan berhubung kontroversi tersebut hanya akan mencukupi sekiranya ia dilakukan secara bebas dan menyeluruh.

“Menegaskan pendirian awal kami, hanya siasatan yang menyeluruh dan bebas akan mencukupi untuk mewujudkan potensi berlakunya pelanggaran undang-undang dan pekeliling pengisytiharan aset kakitangan awam serta sumber dana,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Azam menerusi sidang media pada 5 Januari lalu menjelaskan bahawa aktiviti pembelian saham oleh adiknya, Nasir Baki dengan menggunakan akaunnya tidak seharusnya menjadi isu.

Menurut beliau, ini kerana sesiapa sahaja sahaja boleh menggunakan akaun orang lain untuk membeli saham di pasaran terbuka dan tidak menjadi satu kesalahan untuk berbuat demikian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!