KWP cadang bina parkir bertingkat di PPR Seri Anggerik
KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bercadang membina parkir bertingkat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Anggerik, Jalan Klang Lama, di sini, bagi memudahkan penduduk meletakkan kenderaan masing-masing dengan teratur.
Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, projek di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat untuk menangani masalah parkir sekali gus menyelesaikan kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.
"Kami telah mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk melaksanakannya. Insya-Allah, projek ini nanti akan menjadi nilai tambah kepada kawasan parkir sedia ada.
"Pada masa sama, kami juga sedang merancang untuk membina surau bagi memenuhi keperluan penduduk setempat," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke projek-projek pembangunan di sekitar ibu kota, di sini pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, Shahidan berkata, seramai 80 keluarga di Flat Taman Rajawali, Cheras, di sini, bakal memiliki kediaman baharu selepas premis mereka terlibat sebagai kawasan pembangunan semula yang dijadualkan bermula pada Mac depan.
Pada masa sama, katanya, terdapat kawasan lapang seluas 0.4 hektar milik DBKL berdekatan premis tersebut yang berpotensi dijadikan sebagai tempat rekreasi apabila proses pembangunan semula di kawasan tersebut siap sepenuhnya.
"Ia berdasarkan konsep penggantian unit perumahan baharu kepada pemilik asal flat berdasarkan perjanjian yang telah dipersetujui.
"Projek pembangunan semula rumah flat ini akan memberikan imej baharu kepada kawasan sekitar sekali gus memberi peluang kepada penduduk untuk menikmati kediaman yang lebih selesa dan terancang lengkap dengan pelbagai kemudahan infrastruktur," katanya.
Shahidan mengadakan lawatan kerja bagi meninjau beberapa projek pembangunan di tiga lokasi berasingan di ibu kota iaitu PPR Seri Anggerik, PPR Sri Pahang dan Flat Taman Rajawali di samping meluangkan masa hampir 30 minit beramah mesra dengan penduduk setempat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!