Empat hari padam kebakaran sampah haram
GOMBAK - Pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran sampah haram di Jalan Kuala Selangor berhampiran Kompleks Penjara Sungai Buloh, Kuang, di sini selepas empat hari operasi pemadaman.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kebakaran berlaku pada jam 6 petang, Sabtu membabitkan kawasan seluas 0.09 hektar.
Menurutnya, seramai 18 anggota berlainan pangkat meliputi tiga pegawai zon dan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, Shah Alam, Petaling Jaya serta Damansara terlibat dalam operasi pemadaman tersebut.
Selain itu, turut berada di kawasan kebakaran tersebut ialah wakil dari Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Gombak.
“Pemadaman diteruskan dengan menggunakan dua unit pam mudah alih tiga aliran dan tiga pancutan yang tertumpu pada empat titik kecil dengan bantuan jentera jengkaut daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
“Operasi pemadaman tamat pada jam 2 petang pada Selasa. Selepas pemantauan selama dua jam dibuat, tiada kesan asap dikesan,” katanya pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!