Nasihin mahu Malaysian Tigress kekal fokus
MALAYSIAN Tigress perlu mengekalkan fokus pada tahap tertinggi pada Piala Asia Wanita 2022 di Muscat, Oman bermula 21 hingga 28 Januari ini, di sebalik ketidaktentuan penularan Covid-19 termasuk akibat ancaman varian Omicron.
Ketua Jurulatih negara Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata anak buahnya dinasihatkan supaya tidak terlalu memikirkan mengenai ancaman itu kerana bimbang ia mampu menjejaskan tumpuan mereka menjelang aksi pembukaan saingan Kumpulan A menentang juara bertahan India pada 22 Januari.
Menurutnya beliau percaya pihak penganjur telah mengambil pendekatan terbaik bagi mencegah penularan Covid-19 dengan pasukan negara akan menjalani ujian RT-PCR sejurus tiba di Muscat.
"Sampai sana pemain tidak perlu risau pasal benda (ancaman) itu walaupun mungkin ada beberapa pemain sedikit gusar dengan kes lalu, tapi kami barisan jurulatih selalu ingatkan mereka untuk hanya fokus pada kejohanan terutama aksi lawan India,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Malaysian Tigress yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang Isnin, selamat tiba di Muscat tengah hari Selasa demikian menurut hantaran Facebook rasmi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).
Sebagai rekod, pada Disember lepas, Malaysian Tigress dilarang beraksi pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2021 di Donghae, Korea Selatan oleh Persekutuan Hoki Asia (AHF) susulan kes Covid-19 yang dilaporkan dalam pasukan negara.
Sementara itu, Mohd Nasihin berkata, skuad bimbingannya masih mencari pasukan lawan untuk beraksi pada perlawanan ujian sebelum kejohanan bermula dengan China menjadi sasaran utama ketika ini.
Menurutnya, pasukan China menjadi pilihan berikutan perlawanan ujian menentang Korea Selatan pada esok tidak dapat dilangsungkan selepas pasukan lawan menukar perancangan.
"Kita rancang untuk bermain dengan China sebab dalam jadual latihan kita ada sesi latihan pada waktu petang yang sebelum itu pasukan China berlatih.
"Jadi kita betul-betul berharap mereka sudi berlawan dengan kita, dapat tiga suku permainan pun dah cukup untuk kita,” katanya yang amat mengharapkan pasukan negara dapat beraksi sekurang-kurangnya satu aksi persahabatan sebelum memulakan kempen kejohanan.
Selepas bertemu India, Malaysia dijadual berdepan Singapura pada 23 Januari dan menamatkan saingan kumpulan menentang Jepun pada 24 Januari dengan hanya dua pasukan teratas akan mara ke separuh akhir kejohanan itu yang juga merupakan kelayakan Piala Dunia Wanita 2022.
Saingan Kumpulan B pula menghimpunkan pasukan China, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.
Piala Asia Wanita 2022 (Muscat, Oman)
Kumpulan A
22 Januari
Malaysian Tigress lwn India
23 Januari
Malaysian Tigress lwn Singapura
24 Januari
Malaysian Tigress lwn Jepun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!