Jual serangkap pantun dalam platform e-dagang
RAMAI rakyat Malaysia ketika ini yang mula mencuba berniaga secara kecil-kecilan.
Kegawatan ekonomi akibat Covid-19 menyebabkan ramai hilang pekerjaan dan akhirnya memilih berniaga sebagai sumber pendapatan.
Bagi yang ada kerja tetap, berniaga sebagai satu cara mendapatkan pendapatan sampingan. Nak harapkan duit makan gaji mungkin tidak cukup.
Berniaga pun sekarang sudah mudah. Jika dulu, terpaksa buka kedai atau paling tidak keluar mencari pelanggan, tapi sekarang sudah banyak platform dalam talian atau e-dagang wujud. Duduk saja rumah di rumah, pelanggan datang sendiri.
Nak berniaga apa, tak perlu nak sediakan modal besar. Berniaga atas angin jadi dropship pun sudah cukup lumayan kalau kena dengan caranya.
Tapi baru-baru ini, Merak Jalanan tertarik dengan satu perniagaan yang dijalankan seorang peniaga menerusi platform e-dagang. Barangan yang ditawarnya hanyalah serangkap pantun.
Mana-mana pembeli nak membeli pantun yang dikarangnya, bayar 50 sen dan serangkap pantun akan diberikan dalam bentuk chatting.
Nampak macam tak masuk akal. Masakan ada orang nak beli pantun yang dikarang orang biasa-biasa. Kalau artis mungkin tidak mustahil.
Tapi bila tengok jumlah pembeli, ternyata sangkaan Merak Jalanan salah. Setakat artikel ini ditulis, hampir 350 orang sudah membeli pantun daripadanya. Rupanya memang ada permintaan.
Walaupun Merak Jalanan tak kenal siapa peniaga itu, tapi Merak Jalanan respek usaha kreatifnya. Selagi dia menjual barang atau perkhidmatan yang tidak melanggar undang-undang atau menimbulkan kemarahan orang lain, teruskanlah.
Dalam masa sama, dia memberi contoh kepada rakyat Malaysia bahawa banyak cara untuk mendapatkan duit halal, tidak perlu mencuri atau mengambil rasuah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!