Mata Ayer dibangunkan sebagai hab kuih, makanan tradisional
ARAU - [DIKEMAS KINI] Kawasan Mata Ayer dekat sini akan dibangunkan sebagai hab kuih dan makanan tradisional sebagai usaha menambah produk pelancongan baharu di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer Siti Berenee Yahaya berkata kawasan itu berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai pusat kuih dan makanan tradisional memandangkan terdapat ramai usahawan kecil yang berjaya.
"Ini sebagai menyahut seruan kerajaan negeri untuk mewujudkan ‘Satu DUN, Satu Produk’.
"Perkara ini saya akan bawa ke mesyuarat Exco untuk dibincangkan dan keputusan akan dibuat selewat-lewatnya pada awal bulan depan (Februari),” katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man baru-baru ini meminta setiap ADUN memperkenalkan satu produk yang berpotensi dimajukan di kawasan masing-masing dalam usaha membantu pembangunan ekonomi rakyat di negeri ini.
Baru-baru ini kerajaan negeri turut memperkenalkan Persiaran Makanan Bintong sebagai produk pelancongan di DUN Bintong.
Siti Berenee yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri berkata antara produk kuih tradisional popular di Mata Ayer ialah kuih karas, ringgi, kuih bangkit dan putu kacang.
"Di samping mendapat suntikan dana daripada kerajaan negeri, kita juga mengalu-alukan penglibatan pihak swasta untuk turut sama membangunkan DUN Mata Ayer,” katanya.
Siti Berenee berkata, selain produk makanan dan kuih tradisional, tarikan lain yang terdapat di DUN Mata Ayer adalah perusahan batik dan gua batu kapur Bukit Ngulang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!