Selangor larang beri penyedut minuman plastik
Hee Loy Sian
A
A
A
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian berkata bagaimanapun tiada caj akan dikenakan ke atas penggunaan penyedut minuman plastik itu.
Pengusaha restoran juga digalakkan untuk tidak menyediakan penyedut minuman plastik di kaunter mereka bagi mengelakkan ia diambil secara bebas oleh pengunjung dan pelanggan, katanya menjawab soalan Leong Tuck Chee (PH-Pandamaran) pada persidangan Dun di sini hari ini.
“(Pelaksanaan langkah) ini merupakan hasrat kerajaan pusat,” katanya.
Loy Sian berkata Kerajaan Negeri turut menggalakkan rakyat terutamanya wanita yang masih ingin menggunakan penyedut minuman supaya membeli alat itu yang diperbuat daripada keluli tahan karat dan membawanya setiap kali makan di luar.
Pada September lepas, Kementerian Wilayah menetapkan semua premis perniagaan menjual makanan dan minuman di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dilarang menggunakan penyedut minuman plastik bagi mengurangkan pencemaran berasaskan plastik serta memulihara alam sekitar bermula 1 Jan depan.
Dalam pada itu, Loy Sian berkata kerajaan Selangor menyasarkan menjadikan negeri maju berkenaan bebas penggunaan plastik sepenuhnya pada 2025 iaitu lima tahun lebih awal daripada rancangan kerajaan persekutuan.
“Sasaran tahun 2030 (untuk bebas penggunaan plastik) adalah rancangan oleh kerajaan persekutuan tapi tempoh ini kita fikirkan agak lama. Disebabkan itu, Selangor sasar 2025 (untuk tujuan itu) tapi bukan seratus peratus, bagi masa sedikit.
“Ini kerana kita mahu pembekal boleh hasilkan bahan ganti kepada plastik contohnya plastik biodegradasi atau beg kertas kitar semula dalam jumlah yang wajar dengan harga berpatutan. Jika ini tidak dapat dilaksanakan, maka pastinya plastik tetap akan menjadi pilihan,” katanya menjawab soalan tambahan Elizabeth Wong Keat Ping (PH-Bukit Lanjan) mengenai tempoh Selangor untuk bebas plastik. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!