Profesor Dr Haim Hilman dilantik sebagai Naib Canselor UUM

Profesor Haim Hilman
Profesor Haim Hilman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Dr Haim Hilman Abdullah dilantik sebagai Naib Canselor UUM yang baharu, berkuat kuasa Isnin lepas (17 Januari).

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Profesor Datuk Dr Husaini Omar dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, sebagai universiti berfokus pengurusan yang cemerlang, pihaknya percaya dengan segala pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti Haim Hilman untuk menggalas tanggungjawab diberikan.

Beliau berkata, kementerian juga percaya Haim Hilman mampu meneruskan kesinambungan UUM sebagai pusat kecemerlangan pembelajaran dan pengajaran, penyelidikan, penerbitan dan perundingan yang terkemuka dalam bidang pengurusan di dalam dan luar negara.

"Kementerian juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau menerajui UUM selama tiga tahun sejak 2018," katanya.

Haim Hilman, 49, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari University of Portsmouth, United Kingdom.

Beliau turut memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam Pengurusan Strategik pada 2010 dari Universiti Putra Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!