Gempur hotel bajet tempat 'layan' wanita Thai, Myanmar

Antara wanita warga asing disyaki pelacur dalam serbuan di dua premis hotel bajet di Subang Jaya, pada Selasa.
Antara wanita warga asing disyaki pelacur dalam serbuan di dua premis hotel bajet di Subang Jaya, pada Selasa.
A
A
A

SUBANG JAYA - 'Tempahan' wanita warga Thailand dan Myanmar sebagai pelayan seks dengan bayaran RM200 dibongkar dalam serbuan Op Gegar, di sini pada Selasa.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan kira-kira jam 8.45 malam di dua buah premis hotel bajet, seramai 13 wanita terdiri daripada 12 warga Thailand serta seorang Myanmar berjaya ditahan,

Katanya, turut ditahan tiga lelaki tempatan dipercayai pelanggan.

"Ketika serbuan, kita turut menjumpai sejumlah kondom dan cecair pelincir bagi tujuan layanan seks. Hasil risikan mendapati, premis ini dikunjungi pelanggan warga tempatan dan asing dengan menggunakan pakej perkhidmatan seks yang ditawarkan dengan harga RM200 sehingga RM270 bagi tempoh 45 minit.

"Kegiatan itu juga dikesan menawarkan harga RM950 bagi langganan ‘outcall’ bermula dari jam 10 malam hingga 7 pagi," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, wanita terbabit dipilih melalui tempahan di ‘website’ dan ‘Telegram’.

Mengulas lanjut Khairul Dzaimee berkata, semasa serbuan dijalankan semua wanita warga asing tersebut tidak memberikan kerjasama dan enggan membuka pintu bilik.

"Terdapat juga wanita asing yang cuba membuat provokasi dan memberikan pelbagai alasan untuk melepaskan diri.

"Kita menyiasat kes ini di Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!