KKM digesa keluarkan panduan siapa tidak perlu ambil dos penggalak

Mohd Asri
Mohd Asri
A
A
A

SHAH ALAM - Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi panduan jelas individu yang mana tidak wajar menerima dos penggalak kerana dibimbangi mempunyai kesan terhadap kesihatan.

Menurutnya, penangguhan tersebut perlu dilakukan sehingga ada satu kenyataan yang menjelaskan golongan yang perlu mengambil dan dikecualikan untuk mengambil dos penggalak.

“Saya tidak menafikan peranan vaksin sebelum ini telah berjaya mengurangkan penularan wabak Covid-19, tetapi saya bercakap tentang apa yang sedang dialami orang ramai mengenai dos penggalak ketika ini.

“Keluarkan panduan yang lebih jelas kepada orang ramai bagi individu yang layak dan tidak diwajibkan untuk mengambil dos penggalak.

“Tiada guna untuk menafikannya kerana banyak aduan tentang kesan serius selepas mengambil dos penggalak, ia bukan kisah dongeng kerana ramai yang mengalami kesan yang serius,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, memang benar, majoriti yang mengambil dos penggalak tiada masalah namun perkara tersebut perlu dipandang serius.

Jelasnya, ramai yang datang menceritakan kesan yang mereka alami dan ada juga yang mendakwa berlaku kematian mengejut selepas menerima dos penggalak, oleh kerana mereka orang kampung jadi memang tiada saluran aduan rasmi.

“Walaupun jika dibandingkan peratus mereka yang mengalami kesan serius lebih sedikit berbanding dengan yang tiada masalah, namun setiap keselamatan nyawa dan kesihatan rakyat adalah tanggungjawab kerajaan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!