Keganasan itu wajib dikutuk, dikecam oleh dunia: MB Kelantan
KOTA BHARU - Kerajaan Negeri Kelantan berkongsi rasa simpati dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa insiden tembakan yang berlaku di Christchurch, New Zealand semalam.
Tindakan itu telah mengorbankan puluhan nyawa yang tidak berdosa dan turut mencederakan saudara Muslim termasuk warga Malaysia.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, keganasan itu wajib dikutuk dan dikecam oleh seluruh dunia.
Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil ke atas pelampau yang telah melakukan tembakan tanpa belas kasihan yang menyasarkan orang tua, pemuda, kanak-kanak dan kaum wanita di sekitar lokasi kejadian yang jelas merupakan rakyat awam.
“Saya berharap pihak Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan pantas dan serius bagi memastikan keselamatan seluruh rakyat Malaysia yang berada di sana.
“Kenyataan rasmi oleh pihak berwajib perlu dimaklumkan dari semasa ke semasa untuk menenangkan pihak keluarga rakyat Malaysia yang menginap berhampiran lokasi tragedi.
“Takziah saya ucapkan semoga roh semua mangsa ditempatkan bersama hamba- NYA yang soleh,” katanya dalam kenyataan media.
Justeru, beliau mengajak seluruh rakyat mendoakan semua saudara Muslim dan warga Malaysia di sana dalam keadaan selamat dan dipelihara ALLAH SWT.
ARTIKEL BERKAITAN: Angka korban Christchurch meningkat 49 orang
Terdahulu, tiga rakyat Malaysia antara 49 yang ditembak dalam satu serangan terhadap dua masjid di New Zealand.
Serangan berdarah di Masjid Al Noor distrim secara langsung oleh penyerang kulit putih bernama Brento Tarrant, berusia 28 tahun berasal dari Australia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!