Berkonvoi sambil kempen antirasuah dalam komuniti
SHAH ALAM - Sambutan lebih meriah dijangkakan bagi Konvoi #RasuahBusters di Negeri Sembilan dan Melaka setelah penganjuran pertamanya di sekitar Lembah Klang mendapat perhatian luar biasa daripada masyarakat setempat.
Pegawai Bahagian Acara Kumpulan Media Karangkraf, Khairil Fithry Mustapha berkata, pihaknya sama sekali tidak menyangka sambutan hangat diterima oleh pasukan Konvoi #RasuahBusters dan rakan gabungan daripada masyarakat setempat di semua lokasi yang dikunjungi pada siri pertama konvoi baru-baru ini.
Menurutnya, bukan sahaja diraikan dengan penuh meriah dan disajikan dengan pelbagai juadah istimewa masakan masyarakat setempat, malah semua program yang dilakukan bersama orang ramai diterima baik dan mendapat reaksi positif.
"Peserta Konvoi #RasuahBusters sangat bertuah kerana kami diterima dengan tangan terbuka oleh seluruh masyarakat setempat, malah diraikan dengan penuh keikhlasan.
"Ini satu petanda yang sangat bagus bagi kami untuk menyemarakkan lagi Konvoi #RasuahBusters di Negeri Sembilan dan Melaka.
"Insha-ALLAH, lebih banyak program menarik dan hadiah istimewa bakal menanti orang ramai di dua negeri ini, sebagai tanda terima kasih atas sokongan yang diberikan kepada Rasuah Busters dan Sinar Harian," katanya pada Rabu.
Namun begitu katanya, misi utama Konvoi #RasuahBusters adalah mendidik dan menyemai mesej antirasuah dalam kalangan masyarakat terutama di peringkat akar umbi sama sekali tidak akan diambil mudah.
Jelasnya, biarpun program dan aktiviti yang dijalankan bersama orang ramai adalah bersifat santai, namun mesej utama untuk memberi penekanan terhadap masyarakat membenci perbuatan jijik rasuah akan tetap disemai di dalam semua program yang dijalankan.
Menurutnya, menerusi kerjasama daripada rakan gabungan Rasuah Busters dan kepakaran masing-masing, segala maklumat penting serta mesej antirasuah akan disebarkan kepada orang ramai.
Jelasnya, perkara itu sangat penting bagi memastikan misi dan visi Konvoi #RasuahBusters mencapai matlamatnya untuk membebaskan negara serta orang ramai daripada budaya rasuah.
"Meskipun kebanyakan program dilakukan secara santai, namun kita berharap orang ramai dapat menerima mesej yang ingin disuarakan oleh Konvoi #RasuahBusters untuk masyarakat menolak amalan rasuah.
"Ketika mana kita berseronok dan bermesra dengan orang ramai semasa aktiviti dijalankan, kita akan terus menyelit mesej antirasuah kepada orang ramai.
"Semoga pendekatan secara bersahaja dan santai ini mampu melekat dalam diri masyarakat terutama anak-anak kecil yang perlu diajar supaya tidak terlibat dengan amalan rasuah, kerana rasuah menghancurkan negara dan bangsa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!