China gesa perlindungan wanita di kawasan konflik
BEIJING - China menyeru supaya perlindungan terhadap kaum wanita diperhebat di kawasan konflik.
Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun berkata demikian dalam sesi perdebatan terbuka PBB berhubung isu membabitkan wanita, kedamaian dan keamanan, pada Selasa.
Beliau berkata, penglibatan wanita dalam proses keamanan politik serta melindungi golongan itu dalam konflik bersenjata merupakan agenda penting Majlis Keselamatan PBB.
China menyarankan agar golongan tersebut dilindungi tanpa diskriminasi sama ada di kawasan konflik yang terlibat dalam proses damai mahupun sebaliknya.
Tambah Zhang, komuniti antarabangsa juga perlu meningkatkan jumlah bantuan berpandukan prinsip yang termaktub di dalam PBB serta memastikan keperluan kehidupan seharian wanita tidak terjejas akibat konflik.
China turut mencadangkan agar keganasan dan konflik dibanteras di peringkat akar umbi.
"Di samping menghukum tingkah laku ganas yang menyasarkan wanita, pihak berkenaan diharap dapat mencegah dan menangani konflik secara komprehensif sebagai perlindungan paling asas," kata Zhang.
Sementara itu, China mencadangkan sokongan terhadap pembangunan hak dan kepentingan wanita serta percaya bahawa ia dapat mengoptimumkan kedudukan, penglibatan dan kekuatan mereka dalam bidang perdamaian dan keamanan untuk jangka masa panjang.
China bersedia bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa menggalakkan dan mendorong pembangunan wanita, menyokong peranan golongan itu dalam hal ehwal antarabangsa, serta membangun masa depan yang damai dan cemerlang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!