AS taja RM200,000 usaha pulihara rebana kercing
Penyelidikan dan dokumentasi akan dilakukan oleh penyelidik UMK
TUMPAT - Amerika Syarikat menaja dana penyelidikan lebih RM200,000 bagi usaha pemuliharaan warisan seni kebudayaan tarian rebana kercing di Kampung Laut di sini.
Dana menerusi Ambassadors Fund for Cultural Preservation (AFCP) itu khusus untuk Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang bertanggungjawab melakukan penyelidikan serta dokumentari berkaitan dalam tempoh setahun.
Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMK, Profesor Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, penyelidikan melalui Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) yang bermula November tahun lalu dijangka selesai dalam tempoh setahun.
Katanya, usaha pemuliharaan seni rebana kercing penting kerana tarian tradisional itu kini hampir pupus dan tidak popular berbanding seni persembahan Melayu lain seperti makyung atau wayang kulit.
“Tarian rebana kercing dipercayai berasal dari Timur Tengah yang sudah bertapak sejak lebih 150 tahun lampau di Kampung Laut.
“Seorang penduduk, Harun Hasan, 76, antara pewaris yang satu-satunya menjadi rujukan utama bagi gerak tari, lagu dan nyanyian rebana kercing,” katanya kepada sidang akhbar Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Rebana Kercing di Kampung Laut di sini pada Rabu.
Pelancaran dilakukan Duta Besar Amerika ke Malaysia, Brian D McFeeters yang turut dihadiri Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Menurut Nik Maheran, projek pemuliharaan seni rebana kercing diketuai oleh Pengarah Pusat Antarabangsa UMK, Profesor Madya Dr Ng Siew Foen dan melibatkan seramai 27 ahli penyelidik serta kakitangan UMK yang turut mengkaji perspektif sosiobudaya masyarakat yang mengambil bahagian dalam seni itu.
“Usaha dilakukan menjaga warisan budaya tidak ketara (ICH) ini termasuk melalui pendokumentasian penyelidikan yang merangkumi temu bual, kerja lapangan dan digitalisasi proses latihan tradisional dan persembahan kebudayaan.
“Hasrat kami ingin mengangkat seni ini ke peringkat antarabangsa dan dijadikan sebagai kokurikulum atau modul pembelajaran di institusi pendidikan dalam negara di semua peringkat,” katanya.
Sementara itu, McFeeters menyatakan rasa bangga kerana dapat berkolaboratif dengan UMK dalam usaha mengangkat martabat warisan itu.
“Kami menghormati budaya Malaysia dan projek ini adalah peluang untuk berhubung dengan masyarakat.
“Menjadi fokus utama kami untuk membina hubungan yang kuat antara masyarakat Malaysia dan AS,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!