Syarikat pengiklanan perlu patuh peraturan: Aminuddin

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Syarikat pengiklanan yang meletakkan iklan di papan iklan di sepanjang lebuh raya perlu memastikan mereka mempunyai lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk berbuat demikian.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, syarikat-syarikat yang meletakkan iklan juga diharap tidak lepas tangan dalam memastikan syarikat pengiklanan yang diupah mematuhi peraturan ditetapkan.

"Kita tidak mahu papan iklan yang tidak berlesen ini berleluasa kerana kebanyakkannya tidak mengikut spesifikasi ditetapkan sekali gus berisiko mendatangkan bahaya termasuk kepada pengguna lebuh raya.

"Saya minta tuan punya iklan yang meletakkan bahan iklan dan promosi mereka supaya melihat adakah syarikat pengiklan yang mereka lantik itu mendapat kebenaran dan mempunyai lesen daripada PBT serta pejabat tanah," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Aminuddin turut mengingatkan mereka yang terlibat supaya memberikan kerjasama bagi mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku.

"Baru-baru ini, sebanyak 26 notis iklan tidak berlesen ditampal pada billboard dikesan ketika operasi dijalankan di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dari Plaza Tol Ainsdale ke kawasan rehat dan rawat (R&R) Seremban.

"Kerajaan negeri juga akan membuat penyelarasan antara PBT dan pejabat tanah supaya tindakan dapat diambil bagi membendung isu papan iklan haram tersebut.

"Setakat ini kita tampal notis dan pengiklan ini akan dihubungi untuk menyertai bengkel bagi memudah cara pengiklanan. Mana-mana syarikat pengiklanan ini akan dihubungi dan dipanggil untuk kita 'putihkan', jika (struktur) tidak selamat, akan dirobohkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!