MSF bekerjasama dengan kerajaan untuk penjagaan kesihatan inklusif
GEORGE TOWN - Medecins Sans Frontieres (MSF), atau Doctors Without Borders sedia bekerjasama dengan kerajaan sambil berharap cadangan Kementerian Kesihatan untuk mereformasikan sistem penjagaan kesihatan akan merangkumi sistem yang selamat dan berpatutan untuk semua di Malaysia, tanpa mengira negara asal, kewarganegaraan atau status dokumentasi.
Ketua Misi MSF Dirk van der Tak dalam kenyataan berkata, organisasi kemanusiaan perubatan antarabangsa bebas itu mengalu-alukan cadangan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar baru-baru ini untuk mereformasi sistem kesihatan negara kerana ia tepat pada masanya, terutama dalam keadaan pandemik Covid-19.
“MSF menyaksikan pelarian dan pencari suaka yang menangguhkan atau tidak mendapatkan rawatan kesihatan kerana mereka tidak mampu untuk membayar yuran perubatan yang dikenakan terhadap warga asing di negara ini.
“MSF menyeru Kementerian Kesihatan untuk memimpin hala tuju baharu ke hadapan apabila memperbaharui sistem kesihatan itu bagi menjadikannya selamat dan berpatutan untuk semua, termasuk pelarian, pencari suaka dan orang tidak bernegara yang merupakan antara golongan paling rentan di Malaysia,” katanya.
Selain itu, beliau berkata sistem penjagaan kesihatan negara yang mampan dan berterusan perlu mengambil kira keutamaan kesihatan awam dan berdasarkan prinsip etika perubatan.
“MSF bersedia bekerjasama dengan kerajaan untuk menyokong penyelesaian bagi penjagaan kesihatan yang inklusif dan mampu milik untuk semua,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!