Sultan, Permaisuri Johor hargai komitmen semua petugas

Sebahagian sumbangan yang diberikan kepada petugas yang mengendalikan pencemaran kimia di Pasir Gudang. -Foto: Ihsan Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sebahagian sumbangan yang diberikan kepada petugas yang mengendalikan pencemaran kimia di Pasir Gudang. -Foto: Ihsan Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan dan Permaisuri Johor menzahirkan ucapan penghargaan kepada pasukan bomba, polis serta petugas-petugas perubatan yang terlibat dalam operasi pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah, baginda bersama Permaisuri Johor amat menghargai komitmen serta dedikasi pasukan-pasukan ini yang bertungkus-lumus menjalankan tugas-tugas mereka.

Selain itu, Sultan dan Permaisuri Johor turut berkenan mengurniakan sumbangan berupa sut perlindungan bahan kimia, alat bantuan pernafasan separuh muka dwi-penapis serta barangan lain untuk pasukan bomba yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan sisa kimia.

"Amat dihargai komitmen pasukan perubatan yang secara berterusan memberikan rawatan perubatan kepada mangsa-mangsa yang mengalami pelbagai simptom akibat terhidu gas kimia," titah DYMM Sultan Johor kepada Royal Press Office seperti dipetik dari laman Facebook rasminya Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di sini hari ini.

Baginda Tuanku Sultan dan Permaisuri Johor turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Johor Corporation (JCorp), KFC, Nestle Foods dan Iskandar Investment Berhad (IIB) di atas sumbangan yang diberikan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!