Peguam dakwa ujian air kencing kedua ADUN DAP negatif dadah

Terence Naidu
Terence Naidu
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu membuat laporan polis susulan ujian air kencing kedua yang dijalankan di sebuah klinik di Pulau Pinang negatif dadah.

Menurut peguamnya, Ramkarpal Singh, ujian susulan saringan air kencing itu dilakukan pada 15 Januari lalu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan ujian saringan kali pertama pada 13 Januari oleh pihak polis yang mendapati terdapat kesan penggunaan empat jenis dadah.

Beliau berkata, tindakan itu juga dilakukan selepas permintaan untuk menjalani ujian kali kedua tidak dibenarkan oleh polis.

"Sampel air kencing yang diambil di klinik tersebut telahpun dianalisa di makmal Pathlab dan keputusanya tiada sebarang jenis dadah dikesan di dalam air kencingnya yang dianalisa oleh Pathlab tersebut. Keputusan ini telahpun diperolehi oleh YB Terence hari ini.

"Justeru, YB Terence telahpun membuat satu laporan polis susulan hari ini di Ibu Pejabat Polis (IPD) Seberang Perai Tengah untuk melaporkan keputusan negatif ujian tersebut dan memohon agar siasatan lanjutan dibuat dalam perkara ini," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Rabu.

Ramkarpal berkata, susulan perkembangan terbaharu itu, pihaknya melihat bahawa siasatan lanjut perlu diambil oleh pihak polis dengan kadar segera demi kepentingan keadilan wakil rakyat tersebut.

Menurutnya, Terence juga bersedia untuk memberi segala kerjasama bagi tujuan tersebut dan berharap siasatan lanjut tersebut dapat dilakukan dengan secepat mungkin.

Pada 14 Januari lalu, media melaporkan seorang ADUN Perak ditahan bersama 35 individu lain selepas ujian saringan air kencing mereka positif dadah.

Artikel Berkaitan:

Kesemua mereka ditahan di sebuah restoran yang dahulunya merupakan kelab malam di Perai di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!