Kaedah pembalakan tidak betul jejas ekosistem

Gambar yang dikongsi di laman sosial Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA).
Gambar yang dikongsi di laman sosial Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA).
A
A
A

KOTA BHARU – Kaedah pembalakan pengusahasilan secara tebang habis berskala besar untuk tujuan ladang hutan atau ladang monokultur antara faktor yang menyebabkan ekosistem dan habitat binatang liar di hutan simpan di Kelantan terjejas.

Pegawai Lapangan, Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, mengikut pemantauan dan rujukan daripada masyarakat orang asli di beberapa kawasan di Gua Musang, pembalakan yang berlaku di Pos Bihai iaitu di Hutan Simpan Perias adalah pembalakan tebang habis.

“Hutan tersebut dipercayai dibalak sehingga botak, kemudiannya ditanam semula dengan pokok getah TLC. Apabila hutan ditukar jadi ladang, binatang apa yang boleh tinggal di situ untuk cari makan.

“Bagaimana Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) dan kerajaan negeri boleh meluluskan konsesi pembalakan sebegini di dalam kawasan hutan simpan yang masih kaya biodiversitinya.

“Walaupun sejarahnya ia pernah dibalak secara tebangan memilih, tetapi hutan itu sudah kembali pulih sebagai hutan sekunder dan ekosistemnya masih ada untuk menampung habitat harimau,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Menurutnya, respon terhadap isu berkenaan amat mendukacitakan sehinggakan masyarakat yang mengikuti perkembangan semasa pembalakan di Kelantan sudah tidak mempercayai kenyataan pemimpin kerajaan negeri dan JPNK.

Beliau yang juga Penasihat Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) berkata, apa yang dapat lihat di Kelantan kini adalah kaedah penghasilan pembalakan bukan kategori selective management sistem (SMS) atau tebangan secara memilih, namun ia didakwa dibuat secara tebang habis untuk tujuan ladang hutan

“Inilah yang kita tidak setuju, sebab bila buat ladang hutan secara berskala besar, ia akan memusnahkan habitat binatang liar. Kita kena faham, harimau dan binatang liar, mereka bukan duduk setempat, bukan seperti binatang yang tinggal dalam kandang.

Artikel Berkaitan:

“Pergerakannya itu memang dalam radius yang besar, hari ini kita nampak, esok kita tidak nampak. Mungkin lima enam tahun lagi baru kita akan nampak balik. Itu pun kalau dia datang atau memang laluan dia.

“Yang datang itu mungkin dia tercedera atau sudah tua. Itu yang terserempak dengan orang asli. Ada faktor tertentu yang muncul di kawasan manusia. Habitat asal dia sudah terganggu,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, pembalakan yang betul mengikut kebenaran kerajaan adalah tidak salah, namun perkara yang dipertikai ialah tindakan membalak secara tidak betul sehingga menjejaskan ekosistem.

Selain itu, Meor berkata, bukan sahaja binatang terjejas, manusia juga terkesan.

"Bila berlaku pembalakan yang tidak betul ini, ia boleh memberi kesan kepada alam sekitar, sungai, pemendapan dan berlakunya banjir lumpur jika hujan berterusan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!