Ibu bapa bimbang tapi percaya kemampuan pihak sekolah
SHAH ALAM - Meskipun bimbang dengan kes penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar sekolah berasrama, namun rata-rata ibu bapa yakin pihak sekolah dan pengurusan asrama dapat mengawal keadaan tersebut.
Ia susulan terdapat pelajar sekolah berasrama di beberapa buah negeri dilaporkan positif Covid-19 sejak sesi persekolahan bersemuka bermula awal Januari lalu.
Seorang bapa, Idi Fazlul Zainuddin, 40, berkata, walaupun bimbang dengan kes penularan tersebut, namun dia percaya pihak sekolah dapat menanganinya daripada berleluasa.
Dia yang mempunyai seorang anak perempuan di sekolah berasrama penuh berkata, ini kerana prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan pihak sekolah adalah baik terutama larangan kepada ibu bapa datang melawat anak-anak di sekolah.
“Selain itu, pelajar di asrama juga dilarang keluar pada hujung minggu dan mereka perlu melakukan ujian calitan Polymerase Chain Reaction (PCR) Covid-19 secara berkala.
“Justeru, diharap SOP seperti ini dapat diteruskan dan dipantau ketat,” katanya kepada Sinar Harian.
Turut senada, seorang ibu, Nursyila Idris, 39, yang berpendapat SOP dilaksanakan di sekolah berasrama sudah memadai untuk mengekang jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar.
“Saya mempunyai dua orang anak di sekolah berasrama penuh. Saya lihat SOP yang dilaksanakan di sekolah sudah cukup baik apabila ibu bapa dilarang melawat anak-anak.
“Kedua, kalau nak hantar barang, ibu bapa hanya perlu ‘pandu lalu’. Nanti akan ada pelajar lain yang datang ambil barang di kereta,” katanya yang merupakan seorang suri rumah.
Seorang lagi ibu, Zainab Hussain, 38, pula berkata, dia tidak terlalu bimbang dengan kes yang dilaporkan kerana percaya pihak sekolah akan mengambil tanggungjawab dalam memastikan semua pelajar selamat dan bebas daripada dijangkiti Covid-19.“Bagi saya, SOP ketat di semua sekolah asrama sudah memadai sekarang.
“Ini termasuk melarang ibu bapa atau penjaga melawat pelajar di sekolah berasrama selain pelajar diwajibkan menjalani ujian PCR sebelum memasuki asrama,” katanya.
Sementara itu, Nor Suhaili Sufiza Abdul Hamid, 35, berkata, walaupun belum ada kes melibatkan pelajar asrama dijangkiti Covid-19 di sekolah anaknya, namun dia mencadangkan supaya guru dan kakitangan turut mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan jangkitan Covid-19 tidak berlaku,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!