Zverev teruja aura Terbuka Australia
JUARA Olimpik dari Jerman, Alexander Zverev memulakan kempen pemburuan kejuaraan Terbuka Australia dengan kemenangan mengagumkan 6-4, 6-4, 6-0 ke atas John Millman di Arena Rod Laver.
Biarpun begitu Zverev terpaksa bergelut selama dua jam sebelum dapat menjinakkan pemain nombor 89 dunia dari Australia tersebut.
"Saya amat gembira dengan kemenangan ini. Ia suatu suasana yang menakjubkan.
"Semoga ia akan kekal sama untuk dua perlawanan seterusnya," ujarnya yang juga pilihan ketiga kejuaraan.
Zverev sebelum itu meletakkan sasaran untuk melakar keputusan positif di pentas Grand Slam pertama tahun ini tanpa kehadiran Novak Djokovic yang terpalit isu kontroversi sebelum kejuaraan menyingkap tirai.
Pada penghujung musim lalu, Zverev melaungkan amaran dia akan tersenarai dalam tiga nama besar pada 2022 - bersama pemain nombor satu dunia Djokovic dan juara Terbuka Amerika Syarikat, Daniil Medvedev.
Keputusan itu menyaksikan Zverev bakal berdepan pemain berstatus kelayakan dari Moldova, Radu Albot di pusingan seterusnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!