MyCC pantau PLUS, Touch ‘n Go bagi pelaksanaan RFID

Gambar hiasan - Foto Bernama (Gambar kecil: Iskandar Ismail)
Gambar hiasan - Foto Bernama (Gambar kecil: Iskandar Ismail)
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan memantau pelaksanaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) selaras dengan peranannya dalam memperjuangkan dan mempromosikan persaingan bagi kepentingan semua rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, satu perjumpaan telah diadakan bersama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch ‘n Go Sdn Bhd (Touch ‘n Go) berhubung pelaksanaan RFID di sepanjang Lebuhraya PLUS.

“Perjumpaan tersebut untuk mendapatkan pemahaman yang lebih lanjut serta perkembangan terkini berhubung pelaksanaan RFID.

“Walaupun inovasi seperti pengenalan RFID dalam sistem kutipan tol ini dialu-alukan, MyCC percaya pelaksanaan sistem itu perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan bagi mencapai objektifnya.

“MyCC mengambil maklum mengenai rancangan bagi memastikan peralihan lancar kepada RFID untuk pengguna lebuhraya dan kerjasama antara PLUS dan Touch ‘n Go dalam sistem kutipan tol,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iskandar berkata, memandangkan terdapat peningkatan aduan pengguna mengenai isu berkaitan pelaksanaan RFID di seluruh Lebuhraya PLUS, MyCC turut berkongsi penilaian dan kembimbangannya dalam mesyuarat yang sama.

Tambahnya, ia mengenai pelaksanaan tersebut termasuk memberikan akses kepada platform pembayaran lain untuk pembayaran tol bukan sahaja melalui kad debit atau kad kredit tetapi juga sistem e-wallet yang lain.

“Dengan mengambil kira tanggungjawab khas yang ada pada kedua-dua perusahaan dominan ini dalam pasaran-pasaran relevan, MyCC akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

“Dan apabila sebarang isu persaingan telah dikenal pasti, Akta Persaingan 2010 akan dikuatkuasakan serta diingatkan bahawa pasaran berkaitan inovasi boleh mewujudkan ketidakpastian.

“MyCC akan bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam memastikan perubahan ini sentiasa memberi manfaat terbaik kepada semua pengguna,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!