Dua senator Perak angkat sumpah hari ini
KUALA LUMPUR - Dua Ahli Dewan Negara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim pada Khamis.
Mereka ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar yang mengangkat sumpah memegang jawatan itu bagi tempoh satu penggal pada majlis yang berlangsung di Dewan Negara di sini.
Pelantikan mereka berkuat kuasa mulai 20 Disember 2021 hingga 19 Disember 2024 setelah dipilih Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bagi mengisi kekosongan kerusi Ahli Dewan Negara yang tamat tempoh perkhidmatan pada 12 Ogos 2021.
Iskandar Dzulkarnain, 45, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perniagaan, sumber manusia dan pemasaran dari Universiti di Perth, Australia serta kini memegang jawatan sebagai Pengarah dan Pengerusi Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation).
Shamsuddin, 72, yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) selama 18 tahun, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Air Perak dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Perak selama lima tahun.
Sementara itu, Rais ketika berucap mengalu-alukan pelantikan kedua-dua Ahli Dewan Negara itu sambil mengingatkan mereka supaya menggalas tanggungjawab sebaik mungkin serta menunaikan segala sumpah dilafazkan dengan penuh amanah kerana Dewan Negara sedang melalui fasa transformasi.
"Pelantikan Yang Berhormat berdua (Iskandar Dzulkarnain dan Shamsuddin) berdasarkan peruntukan Perkara 45 1(a) Perlembagaan Persekutuan yang dipilih mewakili negeri-negeri sepertimana Jadual Ketujuh Perlembagaan Persekutuan.
"Yang Berhormat seharusnya dapat menggunakan pentas ini seluas mungkin untuk membawa suara negeri Yang Berhormat wakilkan di Dewan yang mulia ini agar peranan Yang Berhormat sebagai wakil negeri dalam memperjuangkan suara rakyat menjadi tersohor serta dihormati,” kata Rais sambil mengingatkan senator agar berdebat secara sihat di dalam Dewan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!