Semua petugas adalah wira, wirawati negara: Syed Saddiq
PASIR GUDANG - Pengorbanan semua pihak termasuklah agensi serta barisan hadapan pasukan perubatan di pusat rawatan awal Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) susulan pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim dianggap sebagai wira dan wirawati negara.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ini kerana ada diantara mereka yang hanya tidur sekitar tiga hingga empat jam sahaja berikutan komitmen terhadap tugasan.
"Saya ucap terima kasih kepada semua agensi, barisan hadapan terdiri daripada doktor, farmaseutikal dan psikologi, mereka banyak membantu dan sudah lama berkampung di sini.
"Saya juga melawat bilik gerakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mana mereka dihimpunkan dari seluruh negara, ada tanya mereka tidur berapa lama, ada yang cakap hanya tidur sekitar tiga, empat jam," katanya selepas melakukan lawatan di pusat rawatan awal di Stadium Tertutup Pasir Gudang, hari ini.
Beliau menyifatkan inilah wira dan wirawati negara dan berhutang budi dengan mereka.
"Saya berharap isu pencemaran yang berlaku ini dapat diselesaikan secepat mungkin dan mahu pihak bertanggungjawab yang melakukan jenayah itu diheret secepatnya ke muka pengadilan," katanya.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan turut menghantar beberapa sukarelawan membantu pesakit di pusat rawatan awal tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!