Banjir 18 Disember: Banyak kekangan sukarkan operasi menyelamat

Ismail Sabri ketika hadir pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
Ismail Sabri ketika hadir pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa kekangan menyebabkan pasukan penyelamat yang terlibat operasi pengurusan banjir menghadapi kesukaran untuk meneruskan operasi walaupun aset telah digerakkan dalam bencana banjir di Selangor 18 Disember lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk kesukaran bot-bot penyelamat untuk bergerak di dalam kawasan banjir kerana tersangkut pada kenderaan yang tenggelam di kawasan terjejas.

“Bermula pada petang Sabtu, 18 Disember 2021, PDRM (Polis Di Raja Malaysia) JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia), ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan APM (Angkatan Pertahanan Awam) sebenarnya telah menggerakkan pasukan masing-masing bagi memindahkan mangsa.

"Namun kerja-kerja menyelamat menjadi lebih sukar berikutan kenderaan yang terperangkap di jalan utama sehingga menghalang kenderaan penyelamat memasuki kawasan perumahan, ada keadaan aset-aset menyelamat terpaksa dipikul ke kawasan terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Khas Parlimen Ke-14 Penggal Keempat di Dewan Rakyat pada Khamis.

Ismail Sabri berkata, ramai mangsa yang enggan meninggalkan kediaman mereka selain suasana yang semakin gelap yang turut menyumbang kepada kelewatan operasi pemindahan.

“Antara alasan yang diberikan, mahu menyelamatkan harta benda, jarak Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang agak jauh dari rumah, bimbang rumah dimasuki pencuri serta bimbang risiko jangkitan Covid-19 di PPS,” katanya.

Perdana Menteri menjelaskan, kelewatan kerja-kerja menyelamat juga disebabkan alamat rumah yang diberikan oleh pemanggil tidak dapat dikenal pasti kerana sudah ditenggelami air.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, sokongan aset dan kekuatan anggota penyelamat serta petugas dari lain-lain negeri turut menghadapi kesukaran ekoran tidak arif dengan kawasan ditenggelami banjir.

“Sekolah dan fasiliti yang telah diwartakan sebagai PPS pula turut ditenggelami air, justeru PPS 'ad hoc' diwujudkan seperti penggunaan surau, masjid malahan khemah sementara juga telah didirikan dengan kadar segera bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir yang diselamatkan.

"Ketiadaan bekalan elektrik dan infrastruktur komunikasi yang terputus akibat banjir, menyebabkan penduduk tidak dapat menghubungi agensi penyelamat untuk bantuan.

"Inilah antara cabaran yang dihadapi oleh pasukan penyelamat dan petugas di lapangan dalam operasi bencana yang luar biasa ini,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!