Kebakaran tapak pelupusan sampah: IPU masih catat bacaan tidak sihat

Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung terbakar sejak 12 Januari lalu. (Gambar kecil: Sharifah Zakiah)
Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung terbakar sejak 12 Januari lalu. (Gambar kecil: Sharifah Zakiah)
A
A
A

GEORGETOWN - Laporan pengawasan kualiti udara di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Byram di Nibong Tebal masih menunjukkan bacaan tidak sihat.

Ia susulan, Stesen Indeks Pencemaran Udara (IPU) di situ menunjukkan julat tidak sihat iaitu 112 pada jam 9 pagi, Rabu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pemantauan yang dilakukan bermula Rabu itu turut dilakukan di beberapa lokasi iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Ladang Changkat; Sekolah Kebangsaan (SK) Keledang Jaya; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong; SK Methodist; Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Changkat, Surau Al Mustaqim di Bandar Cassia dan Pusat Pemindahan Sementara SK Saujana Indah.

"JAS Pulau Pinang telah melakukan pemantauan kualiti udara pada 19 Januari menggunakan alat Portable Multitasking Analyser untuk mengenalpasti gas-gas dan parameter pencemar yang wujud dengan mod cerapan (interval) setiap 30 saat.

"Pengukuran gas di SJKT Ladang Byram masih berlangsung dari awal pagi hingga kini. Pemantauan akan diteruskan di lokasi bersesuaian sehingga pemadaman selesai serta bacaan kualiti udara yang stabil diperoleh," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Isnin lalu, Sharifah Zakiah mengesahkan kualiti udara di kawasan sekitar adalah tercemar dan berbahaya.

Jelasnya, radius asap tebal kini tersebar sejauh 7 kilometer.

JAS Pulau Pinang juga melakukan pemantauan kualiti udara di tiga lokasi iaitu Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Changkat dan Dewan MPKK Kampung Kebun Baru.

Artikel Berkaitan:

Selain itu JAS turut menempatkan stesen pengawasan kualiti mudah alih di SJKT Ladang Byram.

Berdasarkan pemantauan mendapati udara mengandungi gas yang boleh memberi risiko kesihatan.

Dua buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan dibuka untuk penduduk Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru.

Sebelum itu, kira-kira 400 penduduk daripada 86 keluarga yang tinggal berhampiran tapak pelupusan sampah yang terletak di Jalan Byram akan dipindahkan sementara atas faktor keselamatan.

Antara penduduk yang terjejas ialah dari Kampung Baru Byram; Kampung Changkat; Kampung Bagan Buaya; Kampung Titi Hitam; Kampung Pengkalan, Kampung Jawi dan Taman Perumahan Desa Jawi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!