Perancangan jangka masa panjang perlu tangani isu SPRM
SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berpendapat perancangan jangka masa panjang penting dalam menangani isu membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Naib Presidennya, Zairudin Hashim berkata, kes melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilihat telah menghakis kepercayaan rakyat terhadap badan yang diamanahkan untuk mempertahankan maruah serta tatakelola baik dalam sesebuah pentadbiran.
“Bila kita berbincang soal kepimpinan yang kita percaya, ia sudah semestinya berkait rapat dengan kepercayaan rakyat.
“Bukan hanya kepada agensi tertentu, malah lebih daripada itu yang mana melibatkan sistem tatakelola kepimpinan sesebuah negara. Paling penting adalah soal tatakelola.
“Justeru, bagi saya perlunya perancangan untuk jangka masa panjang termasuklah kaedah pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Solusi Transformasi SPRM’ yang bersiaran secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Program yang dimoderatorkan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Dr Badlishah Sham Baharin dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Mengulas lanjut, Zairudin berkata, cadangan untuk meletakkan SPRM di bawah Parlimen juga adalah wajar bagi memastikan badan berkenaan bebas daripada campur tangan eksekutif selain mewujudkan proses semak dan imbang lebih bebas serta telus.
Dalam perkembangan sama, dia berkata, wakil rakyat sama ada di pihak pembangkang ataupun kerajaan juga perlu memainkan peranan dan tanggungjawab terhadap pemegang taruh serta rakyat.
“Ini kerana jika membabitkan isu berbangkit seperti SPRM, masing-masing perlu bertindak dan mempunyai jawapan. Kalau tidak, rakyat akan terus tertanya-tanya. Kenapa tidak ada tindakan, tiba-tiba keluar kenyataan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!