Maritim perkukuh risikan kekang penyeludupan PATI

Gambar kecil: Mohd Rosli
Gambar kecil: Mohd Rosli
A
A
A

KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Malaysia (Maritim) Selangor terus mempertingkatkan maklumat dan risikan bagi mengekang kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, pihaknya juga sedang giat mengenal pasti dalang-dalang yang terlibat dalam kegiatan haram itu.

Menurutnya, Maritim Selangor berusaha mengekang kegiatan penyeludupan migran sebagai salah satu langkah bagi mengelak insiden bot karam seperti yang baru dilaporkan berlaku di perairan Pontian dan Teluk Ramunia, Johor.

"Kita telah memperketatkan lagi kawalan keselamatan selain mengukuhkan maklumat risikan.

"Maritim Selangor juga bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia melalui pertukaran maklumat dan risikan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau turut mengingatkan komuniti nelayan, warga tempatan atau mana-mana pihak untuk tidak bersekongkol dengan sindiket PATI ini.

Tambahnya, tindakan tegas akan dikenakan termasuklah sitaan bot nelayan yang digunakan selain siasatan di bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom).

Pada 18 Januari lalu, tujuh PATI hilang selepas bot pancung dinaiki mereka karam akibat dibadai ombak besar di perairan Pontian, Johor.

Artikel Berkaitan:

Kemudian, pada 20 Januari pula, dua maut manakala enam PATI masih hilang dalam kejadian bot karam di perairan Teluk Ramunia, Johor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!