Penduduk lega jambatan bailey Kampung Bemban kini siap

Anggota Markas Rejimen Askar Jurutera 3 Divisyen terdiri dari Skuadron Ke-8 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Ke-9 RAJD yang terlibat dalam pembinaan jambatan bailey di Kampung Bemban, Simpang Durian, Jelebu yang siap pada Rabu.
Anggota Markas Rejimen Askar Jurutera 3 Divisyen terdiri dari Skuadron Ke-8 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Ke-9 RAJD yang terlibat dalam pembinaan jambatan bailey di Kampung Bemban, Simpang Durian, Jelebu yang siap pada Rabu.
A
A
A

JELEBU - Penduduk di Kampung Bemban, Simpang Durian dekat sini kini boleh menarik nafas lega apabila pembinaan jambatan sementara Compact Bailey Single Lane (CB 200) di Sungai Teriang bagi menghubungkan kampung tersebut telah siap sepenuhnya pada Rabu.

Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, projek pembinaan jambatan sepanjang 18 meter yang menghubungkan Kampung Bemban dan Kampung Jerang itu dibuat bagi memudahkan penduduk berulang alik selepas jambatan asal runtuh dalam kejadian banjir baru-baru ini.

“Jambatan bailey ini mula dibina pada 18 Januari dan dijangka siap pada 20 Januari, namun telah siap sehari lebih awal iaitu pada 19 Januari.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Tentera Darat Malaysia telah mengatur gerak tiga pegawai serta 56 anggota dari Skuadron Ke-8 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Ke-9 RAJD dengan kerjasama kakitangan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jambatan yang menghubungkan Kampung Bemban dan Kampung Jerang itu adalah sepanjang 18 meter dengan kelebaran 4.3 meter.

Ia merupakan sebahagian Projek Jiwa Murni ATM selaras dengan Teras Kementerian Pertahanan serta Tonggak Ke-5 Perintah Ulung Panglima Tentera Darat iaitu meningkatkan kerjasama ATM dan Tentera Darat bersama dengan agensi awam serta rakyat.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!