BNM kekalkan OPR pada 1.75 peratus

Bank Negara - Gambar hiasan
Bank Negara - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia telah mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus kerana pertumbuhan ekonomi global terus pulih, disokong oleh aktiviti perkilangan dan perdagangan.

Bank pusat berkata, keadaan pasaran pekerja juga telah bertambah baik di banyak negara walaupun beberapa negara melaksanakan semula langkah-langkah untuk mengekang penularan semula Covid-19 yang sedang berlaku, menyebabkan kadar pemulihan aktiviti dalam negeri terutamanya perkhidmatan menjadi sederhana sedikit.

Inflasi kekal tinggi di beberapa negara, didorong oleh faktor penawaran dan permintaan, katanya.

"Pada masa hadapan, liputan pemberian vaksin yang terus meningkat, kemajuan dalam keberkesanan vaksin dan ketersediaan rawatan antiviral akan membolehkan pandemik ditangani dengan lebih baik, lantas menyokong prospek pertumbuhan global

"Prospek pertumbuhan global akan terus dipengaruhi oleh ketidakpastian berhubung dengan kemunculan varian baharu yang membimbangkan, risiko gangguan bekalan global yang berlanjutan dan risiko volatiliti pasaran kewangan yang ketara berikutan pelarasan dasar monetari ekonomi utama," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kadar faedah utama telah dikekalkan pada 1.75 peratus sejak Julai 2020, terendah dalam rekod sejak 2004.

BNM berkata, penunjuk berfrekuensi tinggi yang terkini menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi kembali pulih pada suku keempat, sejajar dengan pelonggaran langkah-langkah pembendungan.

Bagi tahun 2021, ia menjangkakan pertumbuhan akan berada dalam julat unjuran 3.0 peratus hingga 4.0 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Momentum pertumbuhan dijangka semakin meningkat pada tahun 2022, dipacu oleh pengembangan permintaan global dan perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi berikutan pasaran pekerja yang bertambah baik dan sokongan dasar yang berterusan.

"Bagaimanapun, prospek risiko terhadap pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan. Risiko-risiko ini mungkin muncul daripada pertumbuhan global yang lebih rendah daripada jangkaan, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk dan kemunculan varian Covid-19 yang membimbangkan, serius dan kebal vaksin," jelas bank pusat itu lagi.

Mengenai Inflasi keseluruhan pula, BNM berkata, ia dijangka kekal sederhana apabila kesan asas daripada inflasi bahan api ini luput.

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka meningkat sedikit apabila kegiatan ekonomi kembali normal dalam keadaan persekitaran kos yang tinggi.

Walau bagaimanapun, inflasi teras dijangka sederhana dengan risiko pertumbuhan menjadi semakin tinggi dibendung oleh keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi dan dalam pasaran pekerja, tambahnya.

Namun begitu, prospek terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global berikutan risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan, katanya.

"MPC menyifatkan pendirian semasa dasar monetari adalah wajar dan akomodatif.

"Langkah-langkah fiskal dan kewangan akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi," kata BNM.

Ia menambah pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!