'Masa kecil dapat upah, sudah besar ambil rasuah'

Antara yang hadir pada Program KPMS Bersama Ahli pada Rabu.
Antara yang hadir pada Program KPMS Bersama Ahli pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Tanpa sedar budaya rasuah telah diajar kepada anak-anak sejak kecil dengan memberikan upah dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

Yang Dipertua Kelab Pesara Muslimah Selangor (KPMS), Latiffah Sidek berkata, sebagai contoh memberi upah gula-gula untuk menyuruh anak ke kedai.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan anak-anak tiada rasa tanggungjawab dan melakukan sesuatu perkara demi mendapatkan habuan.

"Apabila tidak diberi upah semua kerja tidak jalan hinggakan disuruh sembahyang pun perlu diupah terlebih dahulu, jadinya solat bukan kerana ALLAH SWT tetapi kerana upah.

"Amalan itu dibawa hingga ke besar apabila ada pangkat dan kuasa yang menjurus kepada rasuah. Apabila minta bantuan kena ada habuan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, cara memberi upah adalah didikan yang salah dan tidak boleh dijadikan amalan buat ibu bapa pada masa kini.

Latiffah (tengah) bersama ahli KPMS semasa program bersama ahli pada Rabu.
Latiffah (tengah) bersama ahli KPMS semasa program bersama ahli pada Rabu.

"Orang lama seperti kami sudah terlambat untuk mendidik kerana anak-anak sudah besar tetapi ibu bapa muda zaman sekarang diingatkan supaya tidak mengulangi perbuatan sama.

Artikel Berkaitan:

"Kita kena biasakan anak-anak buat kerja dengan ikhlas dan memikul tugas dengan penuh tanggungjawab. Benda yang salah jangan diwarisi," katanya.

Pada Rabu, KPMS yang ditubuhkan ketika pandemik Covid-19 buat julung kalinya mengadakan pertemuan bersama ahli-ahli menerusi 'Program Sehari KPMS Bersama Ahli' bertempat di Kompleks Warga Emas, Sekyen 24 di sini.

Latiffah berkata, hampir 100 ahli menghadiri program tersebut dengan mengundang penceramah, Shamsul Debat bagi memberikan motivasi mewarnai masa depan pesara muslimah.

"Aspek menangani kemurungan turut ditekankan kepada ahli kelab kerana ada diantara pesara yang selepas menamatkan perkhidmatan dibebani dengan masalah anak dan terikat komitmen menjaga cucu.

"Melalui penubuhan kelab ini sasaran kita untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli dan mempelbagaikan aktiviti pesara supaya tidak terhad bersama keluarga sahaja," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!