Fahmi sambut baik RUU Anti Lompat Parti akan dibentang di Parlimen
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mana Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen mulai 28 Februari depan.
Beliau menerusi satu ciapan di Twitter miliknya pada Khamis berkata, ia berikutan berdasarkan Perkara 2.1 dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan pusat pada September lalu, pindaan bagi RUU tersebut mesti dilaksanakan dalam tempoh tidak lewat daripada Mesyuarat Pertama Parlimen 2022.
“Maksudnya perlu dibentang, dibahas dan diluluskan dalam sidang Februari hingga Mac ini.
“Justeru, saya mengalu-alukan kenyataan @dswanjunaidi ini,” ciapnya.
Pada Khamis, Wan Junaidi memaklumkan kerajaan bersetuju membentang dan memuktamadkan RUU Anti Lompat Parti pada persidangan Dewan Rakyat bermula 28 Februari ini.
Katanya, keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH pada Rabu, selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu ia disegerakan.
Fahmi sebelum ini turut memberitahu, 13 daripada 18 Perkara dalam MoU itu telah pun dilaksanakan, namun pembentangan bagi RUU tersebut masih belum dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!