Tular OKU mengesot turun tangga akibat lif rosak

Tangkap layar video tular dalam aplikasi TikTok mengenai seorang lelaki OKU mengesot menuruni anak tangga di bangunan Wisma Persekutuan pada Khamis.
Tangkap layar video tular dalam aplikasi TikTok mengenai seorang lelaki OKU mengesot menuruni anak tangga di bangunan Wisma Persekutuan pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Tular satu video dalam aplikasi TikTok mengenai seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mengesot menuruni tangga dari tingkat tiga di Wisma Persekutuan di sini pada Khamis.

Video berdurasi satu minit tiga saat itu memperlihatkan dia mengesot turun satu persatu anak tangga akibat lif dalam bangunan terbabit dipercayai rosak.

Turut dilihat kelibat dua lelaki yang menemaninya dan salah seorang daripadanya sedang mengangkat kerusi roda milik penjawat awam itu.

Difahamkan lelaki OKU tersebut adalah pegawai di Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang pejabatnya terletak di tingkat tiga.

Dalam video terbabit turut memaparkan pemohonan agar pihak pengurusan bangunan supaya lebih cakna dan menyediakan kemudahan mesra OKU.

Susulan penularan video itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang segera membuat siasatan bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung perkara itu.

Chon Siang berkata, lif bangunan berusia 25 tahun itu didapati rosak sejak November lalu dan hanya dua daripada empat lif sahaja yang berfungsi dalam bangunan terbabit.

Menurutnya, kesemua keempat-empat lif akan siap diganti baharu sebelum bulan Mei tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Dua lif dalam proses pengantian manakala dua lagi lif yang masih berfungsi sebelum ini, salah satu daripadanya rosak akibat dimasuki air hujan pada Rabu lalu.

"Pada awalnya, pihak pengurusan bangunan mendapati adalah tidak berbaloi dibaiki kerana dalam tempoh tiga atau empat bulan lagi kesemua lif akan diganti sepenuhnya.

"Bagaimanapun, kerja-kerja membaiki pulih tersebut akan tetap dilakukan demi kebaikan semua," katanya.

Jelasnya, sebelum ini terdapat seorang pegawai kementerian perangkaan dari tingkat 11 telah pengsan disebabkan terpaksa menaiki tangga susulan kerosakan lif.

"Pegawai itu menaiki tangga dan hanya sempat sampai ke tingkat enam sebelum dipapah turun dan dihantar ke hospital," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!