BAC 2022: Nasib Zii Jia di tangan barisan jurulatih

Lee Zii Jia
Lee Zii Jia
A
A
A

[DIKEMASKINI] SELEPAS disahkan mahu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), nasib pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia sama ada dipilih menyertai Kejohanan Berpasukan Asia (BAC) bermula dari 15 hingga 20 Februari ini, bakal diputuskan barisan jurulatih.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, terpulang kepada barisan jurulatih untuk memilih skuad yang terbaik serta menetapkan sasaran yang realistik bagi kejohanan dwitahunan itu yang turut menjadi kelayakan kempen Piala Thomas 2022.

"Apa pun, kita akan lakukan persediaan yang terbaik, terpulang kepada pihak kejurulatihan untuk mencadangkan, mungkin kombinasi pemain profesional dan BAM, tapi itu semua terpulang kepada mereka untuk mengemukakan cadangan tersebut.

"Mengenai sasaran, saya belum bincang dengan barisan kejurulatihan, biarlah mereka mencadangkan dahulu dan lihat (sama ada) cadangan itu realistik atau pun tidak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran "Queen's Baton Relay” sempena Sukan Komanwel Birmingham 2022 di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Mohamad Norza mengesahkan Zii Jia, pemain ranking ketujuh dunia dan Juara All England 2021, telah menghantar surat peletakan jawatan kepada badan induk itu pada 11 Januari lalu manakala keputusan BAM akan diumumkan timbalannya, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos pada Jumaat.

Sementara itu, Mohamad Norza turut mengesahkan kerajaan telah memberikan kelulusan untuk menganjurkan BAC 2022 dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor di Setia City Convention Centre.

Beliau berkata, dengan kejohanan itu bakal menjadi kejohanan badminton antarabangsa pertama dianjurkan di Malaysia sejak dilanda pandemik pada awal 2020, ia bakal menjadi titik permulaan bagi menganjurkan kejohanan lebih besar seperti Terbuka Malaysia dan Malaysia Master dalam masa beberapa bulan akan datang.

"Mungkin ada 'some amendments' (pindaan) atau 'modifications' (ubah suai) (kepada prosedur operasi standard) berpandu kepada keadaan kita yang menuju ke endemik ini. Saya yakin kita akan lakukan langkah-langkah sesuai, 'especially' (terutamanya) untuk 'players' (pemain) dari negara luar.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga tidak mahu keadaan Covid-19 yang 'out of control di tournament' (tidak terkawal di kejohanan lain) berlaku di negara kita.

'I don’t think we will do fully bubble, but the details on the SOP and participating countries will be announced soon' (Saya tidak fikir kami akan laksanakan gelembung sepenuhnya tetapi perincian SOP (prosedur operasi standard) dan negara peserta akan diumumkan tidak lama lagi),” katanya.

Pada edisi 2020 di Manila, skuad lelaki Malaysia muncul naib juara selepas tewas 1-3 kepada Indonesia, manakala skuad wanita terkandas di separuh akhir apabila akur 0-3 kepada Jepun, yang kemudian muncul juara menewaskan Korea Selatan 3-0 pada final.

Empat pasukan teratas, masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita akan meraih tiket ke Piala Thomas (lelaki) dan Piala Uber (wanita) 2022 yang dijadual di Bangkok, pada Mei. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!