Penggal kepala ibu: Siasatan selesai
Polis sudah merekodkan keterangan ahli keluarga termasuk suami mangsa bagi membantu siasatan.
KUALA SELANGOR - Polis sudah melengkapkan siasatan berkaitan seorang lelaki yang memenggal kepala ibunya sehingga maut dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, polis juga sudah merekodkan keterangan ahli keluarga termasuk suami mangsa bagi membantu siasatan sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan pendakwaan.
"Kertas siasatan kes itu sudah lengkap dan akan diserahkan kepada TPR," katanya pada Khamis.
Ramli berkata, setakat ini, reman ke atas suspek lelaki berkenaan masih kekal sehingga Sabtu dan tidak menolak kemungkinan akan melanjutkan tempoh reman itu.
"Kita menjangkakan pendakwaan suspek dilakukan minggu depan," katanya.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan, seorang wanita berusia 56 tahun maut dipercayai dipenggal kepala oleh anaknya dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang di sini pada Sabtu.
Suspek yang berusia 28 tahun itu dikatakan membunuh mangsa ketika berada di ruang tamu berikutan terdapat kesan darah di sekitarnya.
Kejadian disedari oleh salah seorang daripada anak mangsa yang pergi ke kediaman berkenaan selepas beberapa kali gagal menghubungi mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!