Nak jadi pemain terbaik dunia kena tahan tekanan: Chong Wei

Lee Chong Wei
Lee Chong Wei
A
A
A

[DIKEMASKINI] KALAU mahu jadi pemain nombor satu negara dan dunia mesti sedia berdepan tekanan hebat, itu kata-kata semangat legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kepada pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia.

Chong Wei mendedahkan Zii Jia bertemu dengannya terlebih dahulu bagi mendapatkan pandangan serta nasihat sebelum bertindak menghantar surat peletakan jawatan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak sebagai pemain bebas.

Pemenang pingat perak pada tiga temasya Sukan Olimpik itu berkata Zii Jia yang menjuarai All England 2021 mengakui dirinya tidak boleh berdepan tekanan yang hebat, namun tidak menyatakan secara jelas bentuk tekanan diterima.

"Saya tak tahu macam mana tahap tekanan di BAM ketika ini sebab saya tidak bersama BAM lagi, untuk saya dulu memang satu tekanan tetapi lain karakter dan lain pemain, ada yang boleh menangani tekanan itu.

"Bagi saya tekanan saya hadapi memang cukup kuat, namun saya dapat jadikan ia sebagai satu motivasi. Saya merasainya (tekanan) tetapi saya tukar ia menjadi dorongan untuk saya berjuang demi negara. Lain orang lain caranya,” kata Chong Wei ketika dihubungi hari ini.

Sebagai bekas pemain dianggap sebagai abang oleh Zii Jia, Chong Wei berkata, beliau tidak menyarankan supaya Zii Jia meninggalkan BAM mahupun terus kekal bersama badan induk itu berikutan tekanan dihadapi, kerana enggan mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat.

Bagaimanapun menurutnya beliau menasihatkan supaya pemain ranking ketujuh dunia berusia 23 tahun itu berbincang bersama BAM bagi mencapai titik pertemuan yang memenangkan kedua-dua pihak.

Katanya ini kerana hubungan beliau dengan BAM sepanjang 19 tahun bernaung di bawah badan induk itu juga tidak terlepas daripada diuji dengan masalah persefahaman, namun ia dapat ditangani menerusi perbincangan.

Artikel Berkaitan:

"Memang kita kadang-kadang ada alasan atau perkara yang tak ‘ngam’ (sesuai) dengan kita, tetapi bagaimana cara kita beri kerjasama kepada BAM, ‘give and take’, dan dalam apa yang kita buat bukan 100 peratus betul,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu.

Mengulas mengenai tekanan dalam sukan, Chong Wei berkata perkara itu adalah lumrah yang dihadapi semua atlet berstatus nombor satu dunia dalam apa jua bidang sukan.

"Bukan saya seorang saja, Federer (Roger Federer) dan Tiger Woods pun, semua sukan sama. Kalau kita tak boleh tahan dengan tekanan, peluang untuk capai satu tahap lebih baik iaitu jadi pemain nombor satu dunia adalah amat sukar,” katanya.

Sementara itu seorang lagi bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim menyifatkan keputusan Zii Jia itu adalah langkah berani dan pasti mempunyai sebab kukuh sehingga membuat keputusan yang mengejutkan.

"Pasti dia memang sudah fikir panjang tentang perkara ini, saya tidak melihat ia sebagai satu kesalahan dan perlu diletakkan di bahu Zii Jia saja, kita kena lihat secara keseluruhan apa punca sebenarnya,” kata Roslin.

Pada Rabu,Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan Zii Jia membuat keputusan meninggalkan badan induk itu dan telah menghantar surat peletakan jawatan pada 11 Januari lalu.

Mohamad Norza berkata, antara faktor Zii Jia ingin keluar daripada badan induk itu kerana beliau bukan Chong Wei, tidak boleh tahan tekanan dan mahu mencapai apa yang diinginkan sendiri dengan ruang tanpa kekangan.

BAM dijangka mengumumkan keputusan berhubung kata putus Zii Jia itu pada Jumaat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!