APPGM-SDG cadang tubuh Suruhanjaya Perubahan Iklim

Gambar hiasan. Gambar kecil: Rohani Abdul Karim
Gambar hiasan. Gambar kecil: Rohani Abdul Karim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM) - Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) mencadangkan agar satu Suruhanjaya Perubahan Iklim ditubuhkan di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) berkata, suruhanjaya itu akan berperanan sebagai badan pengawasan bebas untuk mengawal selia hal ehwal berkenaan perubahan iklim termasuk adaptasi dan pengurusan risiko bencana.

Beliau berkata, APPGM-SDG juga menyarankan supaya dilakukan kajian semula perancangan guna tanah negara termasuk Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan Tempatan serta proses penyahwartaan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Malaysia.

"Hasil penyelidikan pasukan APPGM-SDG pada 2020 dan 2021 mendapati terdapat kawasan-kawasan di Malaysia termasuk kawasan Parlimen Batang Lupar yang merekodkan banjir akibat pembangunan dan aktiviti tukar guna tanah tidak dirancang dengan betul tanpa penilaian risiko mencukupi,” katanya ketika meminta penjelasan dan memberikan pandangan pada Mesyuarat Khas berkenaan bencana banjir di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menurut Rohani, kesan banjir menjadi lebih buruk pada masa depan dengan peningkatan penduduk, kadar urbanisasi dan pembangunan ekonomi di kawasan terdedah banjir, ditambah dengan peningkatan kekerapan dan intensiti cuaca ekstrim akibat perubahan iklim.

Selain itu, pihaknya juga mencadangkan supaya dilaksanakan transformasi di kawasan perbandaran ke arah pengurusan air lebih holistik dan inovatif, mengkaji semula dan menghentikan pembangunan di kawasan sensitif alam sekitar dan melaksana pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!