Kekalahan Algeria ibarat 'kegagalan besar'
PENGENDALI Algeria, Djamel Belmadi menyifatkan kekalahan 1-3 skuad kendaliannya kepada Ivory Coast, pada aksi terakhir Kumpulan E Piala Negara-Negara Afrika di Stadium Japoma, pada Jumaat sebagai satu ‘kegagalan’ besar.
Belmadi berkata, setelah muncul juara pada edisi 2019 lalu, skuad berkenaan dilihat mempamerkan aksi tidak bermaya pada edisi kali ini hingga menyaksikan skuad The Desert Warriors itu gagal mencatatkan sebarang kemenangan.
“Bagi saya, ia satu kegagalan. Kami memang gagal kali ini di mana kami terlalu berbangga dengan kejayaan lalu hingga mengabaikan persediaan yang perlu dilakukan untuk edisi kali ini.
“Kami juga tidak memanfaatkan peluang-peluang yang kami miliki. Bermula daripada awal kejohanan lagi yang menyaksikan kami turut berdepan masalah, termasuklah untuk menyempurnakan sepakan penalti.
“Secara keseluruhannya, kami mengakui kami sebenarnya tidak cukup bagus berbanding dengan pasukan lain yang jauh lebih bersedia,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, Franck Kessie membuka jaringan buat Ivory Coast pada minit ke-22, diikuti Ibrahim Sangare minit ke-39 dan Nicolas Pepe (minit ke-54) sebelum Sofiane Bendebka menjaringkan gol saguhati buat Algeria pada minit ke-73.
Kekalahan itu sekali gus menyaksikan Algeria menamatkan saingan peringkat kumpulan pada edisi kali ini pada kedudukan tercorot dengan hanya meraih satu mata hasil satu seri selain tewas dua kali.
Sementara itu pengendali Ivory Coast, Patrice Beaumelle nyata berpuas hati dengan kemenangan berkenaan dan optimis skuad kendaliannya itu mampu mara lebih jauh pada edisi kali ini.
Malah katanya, fokus skuad The Elephants itu kini adalah untuk berdepan Mesir pada aksi kalah mati yang dijadualkan berlangsung minggu depan.
“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan kemenangan ini dan terhadap apa yang dilakukan pemain pada perlawanan ini.
“Apa pun, ia sememangnya sentiasa sukar apabila beraksi di peringkat seperti ini, namun kami akan tetap bersedia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!