Kelantan pantau tahfiz elak ajaran sesat
KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Kerajaan Kelantan sentiasa memantau pergerakan pusat tahfiz yang beroperasi di seluruh negeri ini walaupun masih belum menerima sebarang aduan berkaitan ajaran sesat.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pemantauan itu dilakukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheik) kerana setiap pusat pengajian terbabit berdaftar dengan institusi berkenaan.
"Buat masa ini kajian berkait dengan perkara berkenaan (ajaran sesat) dibuat pihak Jaheik," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa merasmikan Majlis Perasmian New Year Special Event 3.0 di Stadium Sultan Muhammad ke IV, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, setiap maklumat diperoleh Jaheik akan diguna pakai oleh kerajaan negeri dalam mengambil sebarang tindakan berhubung perkara tersebut.
Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai pelajar pondok bakal hilang tempat tinggal di Bachok yang dilaporkan media pada Selasa, Ahmad berkata, pihaknya menzahirkan rasa simpati dengan apa yang berlaku.
Beliau berkata, kerajaan negeri sedang menunggu laporan penuh daripada pihak Jaheik mengenai perkara tersebut.
"Jaheik sedang buat kajian kerana dikatakan ada sesuatu pendekatan yang bercanggah dengan peraturan dibuat.
"Saya dimaklumkan, mereka (pelajar) telah dikeluarkan dari pusat pengajian berkenaan," katanya.
Sinar Harian 18 Januari lalu melaporkan, seramai 55 pelajar Pondok Darul Syahadah di Gunong, Bachok berkemungkinan hilang tempat tinggal apabila tempoh kebenaran menggunakan tanah dan premis pusat pengajian agama itu tamat.
Pihak pengurusan pondok berkenaan menerima notis daripada pemilik tanah supaya mengosongkan premis itu selewat-lewatnya bulan depan.
Situasi itu menyebabkan 30 pelajar lelaki dan 20 pelajar perempuan berusia antara lapan hingga 17 tahun hilang tempat tinggal serta tempat untuk mempelajari ilmu agama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!