Penyelidik UMP cipta peranti hidung elektronik
KUANTAN - Penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya mencipta peranti hidung elektronik, E-Anfun untuk menangani masalah kemeruapan bau yang tersebar daripada operasi kilang.
Peranti yang dihasilkan melalui kolaborasi bersama Sime Darby Plantation Research (SDPR) itu sangat efektif dalam mengesan bau, sekali gus dapat mengurangkan kos operasi bagi mengatasi masalah bau yang meruap.
E-Anfun yang menggunakan kaedah saintifik berdasarkan data konsisten hasil kepakaran pasukan penyelidik UMP, Prof Madya Dr Muhammad Sharfi Najib dan Prof Madya Dr Saiful Nizam Tajuddin dari Pusat Penyelidikan Bioaromatik.
Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP berkata, projek itu berjaya dilaksanakan dengan baik berdasarkan maklum balas yang diterima daripada komuniti berdekatan dengan kilang pengesktrakan minyak soya Sime Darby Oils di Nonthaburi, Thailand.
Menurutnya, Sime Darby Plantation Research sangat berpuas hati dengan kejayaan projek itu dan berhasrat untuk memasang beberapa unit sensor bagi pemantauan berterusan di kilang tersebut.
"Inovasi ini selaras dengan komitmen Sime Darby Plantation terhadap peralihan ke arah iklim perniagaan yang lebih positif.
“Berikutan kejayaan ini juga, projek kedua berkaitan pemantauan kualiti minyak kelapa melalui sensor bau mudah alih E-Anfun ini akan menyusul," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau sebelum itu hadir mendengar taklimat perkembangan projek peranti E-Anfun dalam majlis penyerahan sensor bau bersama SDPR anjuran Pusat Penyelidikan Bioaromatik dengan kerjasama Jabatan Penyelidikan dan Inovasi di UMP kampus Gambang, minggu lalu.
Turut hadir, Ketua Bahagian Pemprosesan dan Teknologi SDPR, Ir Dr Mohd Shiraz Aris, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ts Dr Kamal Zuhairi Zamli dan Dekan Inovasi Industri, Prof Madya Dr Abdul Adam Abdullah.
Dr Yuserrie berkata, UMP amat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan Sime Darby Plantation Research.
"Hasil kerjasama kedua-dua pihak telah membuktikan kemampuan UMP dalam menghasilkan produk bermutu tinggi dan mempunyai nilai komersil di peringkat industri," katanya.
Tambah beliau, E-Anfun pernah memenangi Anugerah Pengkomersialan Malaysia (MYC2019) bagi kategori Anugerah Inovator Baharu.
"Melalui penggunaan peranti ini, ia mampu membantu industri menangani kesan ruapan bau dalam industri minyak dan gas, industri kimia, industri ternakan, industri kelapa sawit dan getah," katanya.
Sementara itu, Ir Dr Mohd Shiraz berkata, kepakaran penyelidik UMP dan fasiliti yang disediakan banyak menyokong dalam kejayaan projek tersebut.
Menurutnya, komitmen ditunjukkan pasukan penyelidik UMP dalam menangani masalah industri juga amat memberansangkan.
“Kami jangkakan pasukan UMP berupaya untuk menghasilkan lebih banyak lagi produk yang memberi pelbagai manfaat untuk kegunaan industri kelak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!