11 individu dipanggil beri keterangan kes gangguan seksual ADUN
JOHOR BAHRU - Polis telah memanggil seramai 11 individu bagi memberi keterangan berhubung kes gangguan seksual melibatkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor, baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan berhubung kes itu masih lagi sedang dilengkapkan selain pihaknya akan menggunakan semua sumber bagi mendapatkan laporan siasatan yang lebih terperinci.
“Kes ini masih dalam siasatan, memang kita maklum akan siap minggu ini tetapi maklumat masih dikumpul. Kita juga sedang berbincang dengan pihak perundangan untuk kemaskan lagi siasatan.
“Buat masa ini kita telah memanggil seramai 11 individu untuk memberi keterangan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media Op Tapis di Kampung Pandan di sini, pada Jumaat.
Pada Isnin, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora mengesahkan satu laporan polis telah dibuat seorang wanita berusia 26 tahun di Balai Polis Kota Tinggi.
Laporan polis yang kemudiannya tular di laman sosial Facebook itu mendakwa wanita yang juga mangsa telah diganggu secara seksual berulang kali oleh ADUN berkenaan pada 2, 3 dan 12 Januari lalu.
Kemudian, pada 18 Januari lalu, ADUN Sedili, Rasman Ithnain dalam satu kenyataan telah menafikan tuduhan melibatkan dirinya dengan kes gangguan seksual terhadap wanita berkenaan.
Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi berkata, dakwaan wanita tersebut tidak benar dan menyifatkannya sebagai konspirasi politik untuk mencemarkan reputasi dirinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!