Keluarga Tarmizi akan ke New Zealand
ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah dan Pusat Khidmat Parlimen Pokok Sena akan menaja tiket penerbangan keluarga salah seorang mangsa tembakan rambang di dua masjid Christchurch, New Zealand.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, dua ahli keluarga Mohd Tarmizi Shuib akan berlepas ke negara berkenaan dalam tempoh terdekat bagi menemui Mohd Tarmizi.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, penerbangan ke New Zealand akan ditaja oleh kerajaan negeri dan pusat khidmat Parlimennya.
"Berkenaan saudara Mohd Tarmizi, saya telah berbincang dengan pihak Wisma Putra khususnya Timbalan Menteri Luar, Senator Datuk Marzuki Yahaya, malam tadi, kemudian saya bercakap dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pagi tadi.
"Kami bersepakat, saya akan menanggung satu tiket penerbangan, manakala kerajaan negeri akan taja lagi satu tiket untuk ziarah mangsa dan keluarga di sana," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika turun padang menziarahi kakak Mohd Tarmizi, Zarina Shuib,53, di rumahnya di Hutan Kampung, di sini, hari ini.
Mahfuz berkata, urusan lain seperti penginapan keluarga Mohd Tarmizi akan diuruskan Wisma Putra melalui Kedutaan Malaysia di New Zealand mungkin dalam tempoh seminggu.
"Saya fikir isu seperti tempat tinggal tidak menjadi masalah memandangkan keluarga Mohd Tarmizi ada rumah di sana. Jadi, ia lebih mudahlah ," katanya.
Katanya, dua tiket penerbangan yang ditaja kerajaan negeri dan Pusat Khidmat Parlimen Pokok Sena membuktikan komitmen diberikan Menteri Besar Kedah.
"Jadi itu yang kita boleh berikan. Jikalau ada ahli keluarga Mohd Tarmizi yang ingin pergi dengan tambang sendiri, kita akan cuba dapatkan kebenaran daripada pihak kedutaan," katanya.
Beliau berharap, kakak kepada Mohd Tarmizi dapat memilih ahli keluarga terdekat yang akan ke New Zealand dan menyerahkan nama kepada pihaknya untuk berurusan dengan kerajaan negeri.
"Sebaik-baiknya, kita ambil penerbangan dari Pulau Pinang ke Singapura sebelum terus ke bandar itu.
"Hal ini berikutan saya difahamkan tiada penerbangan secara langsung dari Kuala Lumpur," katanya.
Mahfuz turut berharap seluruh ahli keluarga mangsa tembakan rambang dapat bersabar dan seluruh rakyat Malaysia mendoakan terbaik untuk mereka.
Sementara itu, kakak mangsa, Mariani Shuib, 49, berkata, dia dan sepupunya, Nordina Ahmad Fauzi, 30, akan berlepas ke New Zealand menemui adik bongsunya.
Kata Mariani, mereka berdua kini hanya menunggu pengesahan tiket untuk berlepas ke sana yang dilihat kali terakhir pada November tahun lalu.
Menurutnya, dia selalu berhubung dengan adiknya melalui Facebook bertanya perkembangan terkini mengenai Mohd Tarmizi.
"Mohd Tarmizi adik lelaki paling rapat dengan saya. Bila dapat tahu dia ditembak dan anak lelakinya hilang, dia amat susah hati sebab tak tau nak hubungi sesiapa," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Angka korban Christchurch meningkat 49 orang
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang (waktu tempatan), 40 maut dan lebih 20 cedera termasuklah tiga rakyat Malaysia akibat tembakan rambang berdekatan Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch.
Mohd Tarmizi antara rakyat Malaysia disahkan terlibat dalam serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand, pada Jumaat, tiga daripadanya cedera dan seorang masih belum dapat dikesan.
Antara rakyat Malaysia lain tercedera termasuklah, Rahimi Ahmad dan Nazril Hisham Omar, sementara anak kedua Tarmizi, Haziq Tarmizi, 17, dilaporkan hilang dalam kejadian tembakan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!