Lelaki mengaku salah 4 pertuduhan termasuk tipu dokumen kerakyatan

Ananda Raj (tengah) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan pada Jumaat.
Ananda Raj (tengah) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Bekas anggota keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan pada Jumaat atas empat pertuduhan menipu dua individu dalam urusan mendapatkan dokumen kerakyatan dan jual beli alatan elektronik berjumlah RM4,400 pada 2020 dan tahun lalu.

Tertuduh S G Ananda Raj, 36, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah.

Mengikut kertas pertuduhan, Ananda Raj mengaku telah menipu wanita warga negara Indonesia, Nuryati untuk mendapatkan dokumen kerakyatan negara Malaysia untuk anaknya dan mendorong wanita berkenaan untuk menyerahkan wang tunai RM2,000 kepadanya.

Perbuatan itu dilakukan olehnya di sebuah premis di Semambu 66, di sini pada jam 12 tengah hari 26 September 2020.

Dia yang kini bekerja sebagai pengurus cafe di Perak turut mengaku menipu Muhammad Yusri Murad, 28, supaya memasukkan wang RM1,000 ke dalam akaun miliknya bagi pembayaran pembelian iPhone 12 Max pro yang tidak wujud di kawasan tepi Petronas Tanah Putih di sini, jam 12.24 tengah hari, pada 4 Mei 2021.

Tertuduh mengaku atas pertuduhan ketiga dan keempat iaitu menipu individu sama dalam urusan mendapatkan hadiah percuma telefon jenama Huawei Mate T8 dan komputer riba jenis Asus yang tidak wujud serta meminta bayaran insurans bagi penghantaran barangan tidak wujud itu.

Muhammad Yusri memasukkan wang RM1,400 ke dalam akuan bank milik tertuduh bagi tujuan itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan Ananda di Jalan Alor Kangkung, di sini pada 5 dan 14 Mei tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Azrin Wan Zaid menawarkan ikat jamin RM14,000 bagi kesemua pertuduhan.

Mahkamah kemudian membenarkan Ananda diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Kes disebut semula pada 27 Januari ini untuk kemukakan fakta kes dan hukuman terhadap pengakuan salah tertuduh.

Tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Hafidza Baharudin dan Rahiza Zulkifli.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!