PM tegur, bukan 'blame game' - Tuan Ibrahim
SHAH ALAM - Penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung banjir dalam Persidangan Khas Dewan Rakyat semalam, adalah bagi penambahbaikan semua pihak dan bukan pendekatan ‘blame game’ atau menyalahkan mana-mana pihak berkaitan situasi banjir luar biasa di Selangor.
Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kementerian itu juga mengakui terdapat perkara yang perlu ditambah baik seperti sistem pengurusan sungai dan perparitan.
"Perdana Menteri menyebut fakta realitinya apa yang berlaku. Bukan nak salahkan kerajaan Selangor. Tetapi oleh kerana negeri-negeri Pantai Timur ini sebagaimana Perdana Menteri sebut, beliau sudah biasa tahu hujan sentiasa turun dan bersedia dengan banjir.
"Mungkin Selangor tidak fikir banjir sebegitu besar. Sebab itu kadang-kadang amaran kita bagi beberapa kali pun, daripada tahap kuning, tahap merah. Masing-masing tidak jangka. Sebab itu Perdana Menteri tidak sebut mana-mana individu, nama dan sebagainya. Tetapi secara umum supaya kita dapat tambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan dan meraikan ulang tahun pertama penubuhan ‘Malaysian Recycling Alliance’ (MAREA) di sini pada Jumaat.
Tuan Ibrahim turut mengesahkan pam air yang ditempatkan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, di sini turut berfungsi semasa kejadian banjir berlaku, cuma ia tidak dapat digunakan susulan ketiadaan elektrik.
"(Pam) di Sri Muda berfungsi sebenarnya. Isunya tiada elektrik, pam kita guna elektrik. Bila air meningkat dan risiko pada orang ramai bahaya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa buat potongan elektrik. Kalau tidak potong bahaya pada orang ramai.
"Apabila TNB potong, pam tidak berfungsi. Namun kita dapat kerjasama daripada TNB membekal set generator bergerak ke situ, cuma ambil masa. Waktu kritikal begitu, kita tidak boleh nak jangkakan semua proses berjalan begitu. Contohnya siren amaran kita berbunyi, tapi bila dah banjir, kelam kabut, siren kereta berbunyi, siren itu bunyi, ini bunyi,” jelasnya.
Berhubung kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu yang mempersoalkan mengapa tidak memusnahkan atau mengebom pam air Sungai Muda, Taman Sri Muda, Tuan Ibrahim berkata, fungsi besar pintu air tersebut adalah untuk menyekat air dari Sungai Klang masuk ke kawasan Sri Muda.
"Kalau paras air bawah lebih tinggi (Sungai Klang), kita bom juga tidak guna. Kita perlu paras air Sungai Klang turun (surut) dan baru kita boleh (air terkepung di Sri Muda) dipam keluar. Sistem pam ini adalah sistem terbaik dan dibuat kajian teliti oleh Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja mempersoalkan mengapa tentera tidak memusnahkan atau mengebom pam air yang tidak boleh digunakan, bagi mengalirkan air banjir yang terperangkap ke Sungai Muda ketika banjir di Taman Sri Muda, semasa sesi perbahasan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Khamis -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!