Fikir cara mansuh tol, bukan perkenal sistem baharu
ALOR SETAR - Kerajaan seharusnya memikirkan bagaimana untuk mengurangkan atau memansuhkan tol, bukannya memperkenalkan sistem yang membebankan pengguna.
Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kini rakyat sudah pun dibebani dengan pelbagai kos sara hidup dan ekonomi, adalah tidak wajar untuk menambah beban tersebut.
Menurutnya, ia bukan masa terbaik untuk memperkenalkan penggunaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dalam transaksi tol di lebuh raya atau memansuhkan lorong tunai serta penggunaan SmartTAG.
“Sepatutnya RFID hanya sebagai salah satu kemudahan yang ditawarkan, bukan diwajibkan.
“Kami tidak setuju sekiranya pelaksanaan sepenuhnya lorong RFID dengan menutup lorong kad Touch ‘n Go (TnG), pengguna harus diberi pilihan sama ada mahu gunakan TnG atau RFID atau bayar tunai,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Mohamad Yusrizal berkata, untuk mendapatkan RFID pengguna perlu membelanjakan RM25 hingga RM35 dan ia membebankan pengguna yang sebelum ini menggunakan kad TnG pada harga minima untuk membayar tol.
“Terdapat pengguna yang bukan selalu gunakan lebuh raya, mereka ini hanya menambah nilai TnG pada harga minimum RM10 dan baki kad tersebut ada tarikh luputnya. Apabila tamat tarikh luput, kemana wang itu pergi?
“Mereka ini juga tiada keperluan lain untuk gunakan kad TnG kerana tidak semua transaksi menggunakan kad tersebut,” katanya.
Jelasnya lagi, adalah tidak munasabah mengaitkan kesesakan kenderaan di lebuh raya dengan penggunaan kad TnG.
“Alasan ini tidak boleh diterima, untuk atasi kesesakan seharusnya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) perlu menyediakan lebih banyak lorong tol, bukan memperkenalkan sistem baharu yang boleh meningkatkan kos rakyat,” kata Mohamad Yusrizal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!