Terbuka Australia: Kematangan pacu kemaraan Zverev
JUARA Olimpik, Alexander Zverev walaupun tidak berada pada tahap terbaik, namun berjaya mara ke pusingan keempat Terbuka Australia selepas melakar kemenangan 6-3, 6-4, 6-4 ke atas pemain berstatus kelayakan dari Romania, Radu Albot di John Cain Arena.
Pemain nombor tiga dunia itu yang menjadi pilihan dalam pemburuan gelaran Grand Slam, ternyata bergelut dengan servisnya pada perlawanan tersebut.
Namun kematangan membolehkan pemain berusia 24 tahun kelahiran Hamburg itu sentiasa mengawal permainan bagi berdepan bintang muda Kanada, Denis Shapovalov berusia 22 tahun berstatus 14 dunia.
Albot, yang sebelum ini mengutip pengalaman di saingan tahap dua, ternyata masih belum dapat menandingi kualiti permainan Zverev terutamanya semasa pemburuan mata penentuan.
Untuk rekod, Zverev, yang mara ke suku akhir tahun lalu di Melbourne Park sebelum tewas kepada Dominic Thiem pada separuh akhir edisi 2020, kekal di landasan terbaik untuk berdepan Rafa Nadal dalam aksi lapan terakhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!